PETALING JAYA: Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mendakwa Laporan Suruhanjaya Diraja Athi Nahappan hanya mengesyorkan penangguhan sementara pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) susulan Konfrontasi Indonesia-Malaysia adalah tafsiran sejarah tidak tepat dan bersifat reduktif.
Setiausaha Agung Sekretariat Tanah Air Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, keputusan menghentikan pilihan raya PBT merupakan keputusan struktur negara yang dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap implikasi perlembagaan, sosial dan tadbir urus dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.
Katanya, Laporan Suruhanjaya Athi Nahappan bukan sekadar dokumen keselamatan bersifat sementara, sebaliknya satu penilaian serius terhadap risiko politisasi pentadbiran tempatan, ketidakseimbangan demografi bandar, ketegangan kaum serta kelemahan kapasiti institusi, iaitu faktor-faktor yang masih relevan sehingga hari ini.
“Walaupun laporan berkenaan mengakui pilihan raya kerajaan tempatan adalah diingini secara prinsip dalam keadaan ideal, sokongan itu bersifat bersyarat dan disertai amaran jelas berhubung risiko politisasi pentadbiran, ketegangan kaum di kawasan bandar, ketidakseimbangan demografi pengundi, serta kelemahan institusi dan kewangan PBT.
“Sokongan suruhanjaya terhadap pilihan raya PBT bukan mandat mutlak untuk pelaksanaan semula, sebaliknya tertakluk kepada syarat dan amaran yang perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Kor Ming berkata, pelaksanaan pilihan raya PBT bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya pernah diamalkan di negara ini sebelum berlakunya Konfrontasi Indonesia-Malaysia.
Menurut Kor Ming, Suruhanjaya Siasatan Diraja di mana mendiang Senator Athi Nahappan pada waktu itu ada membuat kajian dan menyediakan laporan dengan mengesyorkan supaya pilihan raya PBT ketika itu ditangguhkan kerana konfrontasi berkenaan.
Bagaimanapun katanya, penangguhan sementara itu telah berlarutan sehingga 50 tahun.
Dalam pada itu, Armin Baniaz berkata, hakikat bahawa pilihan raya PBT tidak dikembalikan selepas tamat Konfrontasi pada 1966 dan dimuktamadkan melalui sistem pelantikan menerusi Akta Kerajaan Tempatan 1976 membuktikan keputusan tersebut adalah berasaskan kepentingan perlembagaan dan kestabilan nasional, bukannya kecuaian atau kegagalan sejarah.
“Dalam masa sama, hujah perbandingan dengan bandar-bandar asing seperti Bangkok, Jakarta, London atau New York disifatkan sebagai retorik populis yang tidak relevan dari sudut perlembagaan.
“Ini kerana Malaysia bukan negara unitari seperti Thailand atau Indonesia, sebaliknya mempunyai kontrak sosial tersendiri, peruntukan afirmatif seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, serta dibentuk oleh sejarah konflik kaum yang memerlukan pendekatan tadbir urus tempatan yang berbeza,” jelasnya. –UTUSAN










