162 mangsa skim forex mahu campur tangan Jabatan Peguam Negara

162 mangsa skim forex mahu campur tangan Jabatan Peguam Negara

HISHAMUDDIN Hashim menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung skim penipuan forex dan kripto.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 162 mangsa penipuan skim pelaburan forex dan mata wang kripto mahu Jabatan Peguam Negara (AGC) campur tangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua syarikat pelaburan yang menjalankan aktiviti berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan tiada tindakan diambil selepas mangsa mengemukakan laporan.

Beliau berkata, seramai 162 mangsa terlibat membabitkan kerugian dianggarkan RM63 juta.

“MHO membawa keluhan dan harapan individu yang mana mereka mengesyaki sudah ditipu dan diperdaya dua syarikat membabitkan penipuan forex dan mata wang kripto.

“Semua mangsa ini merayu kepada Jabatan Peguam Negara supaya dapat memberikan pertimbangan dan perhatian sewajarnya terhadap permasalahan dihadapi mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada wakil AGC berhubung kes itu hari ini.

Katanya, sebahagian mangsa mendakwa laporan yang dibuat sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan ada juga alasan bahawa kes ini perlu dikendalikan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kami mahu AGC dapat menilai dengan sewajarnya sama ada wujud elemen kesalahan jenayah, khususnya berkaitan penipuan, pecah amanah dan pengumpulan dana pelaburan secara tidak sah,” katanya.

Sebelum ini, hampir 200 individu mendakwa ditipu seorang lelaki yang menawarkan program pelaburan forex dan mata wang kripto tidak berlesen, mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×