KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian berpegang kepada prinsip integriti, tadbir urus yang baik serta kebertanggungjawaban sebagai keutamaan dalam pentadbiran.
“Sebarang bentuk salah guna kuasa atau amalan rasuah tidak akan dikompromi dan tindakan susulan di peringkat dalaman akan diambil selaras dengan peraturan pegawai awam jika perlu.
“Kementerian sedang berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara bagi menambah pengisian jawatan khususnya di peringkat penguatkuasaan bagi memperkasakan operasi JAS,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin mengetahui langkah kementerian dalam menjamin integriti perkhidmatan susulan penahanan pegawai tertinggi jabatan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini.
“Langkah itu turut bertujuan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) JAS supaya lebih responsif dan berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN











