KUALA LUMPUR: Semua agensi pakej umrah diwajibkan mempunyai jaminan bank bagi melindungi jemaah dan mempercepatkan proses pampasan bermula 15 Mei ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, kerajaan percaya dengan pelaksanaan jaminan bank itu dapat mengatasi masalah penipuan umrah dengan lebih berkesan dan efektif.
“Selain itu, pihak kementerian sentiasa menjalankan penguatkuasaan ke atas agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah.
“Dari 2023 hingga 2025, sebanyak 69 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan. Jemaah yang terjejas atau terkandas boleh membuat laporan polis dan mengemukakan aduan rasmi kepada Motac bagi membolehkan kertas siasatan dibuka,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai bilangan agensi umrah yang telah disenarai hitam atau dibatalkan oleh pihak berkuasa dari 2023 hingga kini, punca utama tindakan tersebut, jumlah jemaah terjejas akibat kegagalan agensi berkenaan serta langkah segera atau pampasan yang telah diambil oleh kerajaan.
Choon Man berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 14 kertas siasatan telah diselesaikan berkaitan kes jemaah umrah dengan nilai kompaun berjumlah RM298,000.
Katanya, tindakan tegas termasuk penggantungan atau pembatalan lesen turut diambil ke atas agensi pelancongan yang terbukti bersalah bagi mengelakkan lebih ramai jemaah menjadi mangsa.
“Bagi 2023 hingga 2025, kerajaan telah menggantung lesen empat agensi pelancongan dan membatalkan lesen dua agensi pelancongan.
“Jemaah yang terjejas juga boleh menuntut tebus rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi pembelian barang dan perkhidmatan selaras dengan Akta Perlindungan Pengguna 1999, katanya. – UTUSAN










