Pembenihan awan di Johor, Perak dan Kedah bermula esok

Pembenihan awan di Johor, Perak dan Kedah bermula esok

AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis Penggulungan Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dam  Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 di Hotel Raia, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Operasi pembenihan awan di Johor, Perak dan Kedah dikoordinasikan bermula esok sebagai langkah proaktif menangani kesan cuaca panas serta penurunan paras air empangan di beberapa negeri terlibat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembenihan awan bagi Monsun Barat Daya itu diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) susulan paras air empangan yang mencapai tahap amaran.

Beliau berkata, Johor menjadi negeri pertama terlibat dengan operasi pembenihan awan yang dijadualkan berlangsung dua hari.

“Di Johor, operasi ini melibatkan tiga empangan utama iaitu Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap,” katanya selepas majlis Penggulungan Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, operasi pembenihan awan diteruskan di Perak dan Kedah pada 13 dan 14 Februari ini.

“Di Perak, pembenihan awan melibatkan Empangan Bukit Merah manakala di Kedah pula Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan air terawat dan sektor pertanian tidak terjejas sekiranya keadaan cuaca panas berterusan.

“Proses pembenihan awan ini dilaksanakan kerana paras air empangan sudah berada di tahap amaran. Justeru, kita mengambil langkah awal sebelum keadaan menjadi lebih kritikal,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×