Ronald Kiandee gesa Muhyiddin berundur Presiden Bersatu

Ronald Kiandee gesa Muhyiddin berundur Presiden Bersatu

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan disiplin terhadap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya usaha demi mengekalkan kuasa Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa mengambil kira usaha memperkukuhkan parti.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, lebih membimbangkan tindakan mengheret Ketua-Ketua Bahagian termasuk wakil rakyat yang menyokong Hamzah memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak.

Beliau justeru itu menggesa Muhyiddin berundur bagi membolehkan proses pemulihan dan pembinaan semula kekuatan sebenar parti dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengembalikan hala tuju perjuangan Bersatu.

“Penyalahgunaan prosedur secara terdesak bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu.

“Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar matlamat perjuangan sebenar dan seolah-olah perjuangan hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok pemimpin tertentu tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan parti gabungan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ronald menggesa Muhyiddin berundur bagi membolehkan proses pemulihan parti dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengembalikan hala tuju perjuangan.

Katanya, Muhyiddin jelas gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.

“Lebih malang, beliau dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang laluan Hamzah daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan.

“Saya percaya hasrat murni kenyataan ini boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Tan Sri Muhyiddin apatah lagi pendirian ini selari dengan intipati kenyataan beliau sendiri di Singapura pada tahun 2008 terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×