SHAH ALAM: Tiada mana-mana pihak boleh dianggap terkecuali atau tidak tertakluk kepada undang-undang negara dalam isu berkaitan pembinaan rumah ibadah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusannya berhubung tindakan terhadap pembinaan rumah ibadah secara haram adalah muktamad dan mengenepikan perbezaan politik.
“Di dalam soal rumah ibadah, kita tetapkan sampailah masanya, kalau betul kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada hukum dan undang-undang, mengapa harus diberikan pengecualian?
“Kaum ini, kalau mahu beribadah mesti ikut peraturan, kaum ini boleh terlepas peraturan dan kerana kepentingan dan pertimbangan politik dan pilihan raya, ada dikecualikan.
“Saya menyatakan, bila kita diberi mandat, kita memutuskan, saya mahu mengambil masa bertahun juga, dua tahun lebih untuk memuktamadkan, tetapi sekurang-kurangnya alhamdulillah ada ketetapan akhirnya di Malaysia tercinta, semua kaum, agama mesti tunduk dan terima kenyataan Malaysia.. ikut peraturan, hukum,” katanya ketika perucap pada Majlis Makan Malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Anwar memberi keizinan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak ke atas rumah ibadah termasuk kuil yang dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.
Beliau berkata, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadah yang tidak mengikut peraturan.
Malah, Anwar dalam ucapan sama menjelaskan, keputusan yang dibuat itu tidak mudah dan isu itu sudah dibiarkan bertahun-tahun sehingga beliau sendiri memutuskan untuk memuktamadkan perkara itu.
“Bayangkan selepas puluhan tahun bergelut soal kuil dan ternakan khinzir, tetapi tidak ada pemutus, kata putusnya, tiada noktah.
“Tetapi, kerana ketegasan kita dan dukungan saudara-saudara, saya katakan bahawa negara ini untuk menjamin kelangsungannya sebagai satu negara bangsa, berdaulat dengan titik tolak nilai, akhlak dan sahsiah tersendiri, ia mesti kembali membetulkannya,” tegasnya. – UTUSAN











