800 murid SRI1 teruja terbangkan wau

800 murid SRI1 teruja terbangkan wau

SAIFUR Ridzwan Mustafa (sembilan dari kiri) bersama ibu bapa sempena Program Pesta Angin Timoq SRI1, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suasana di Sekolah Rendah Islam 1 (SRI1) di sini meriah dengan keterujaan lebih 800 murid menerbangkan la­yang-layang sempena Program Pesta Angin Timoq peringkat sekolah berkenaan semalam.

Program julung kali itu turut disertai oleh ibu bapa yang tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti bersempena musim angin timur ketika ini.

Guru Besar SRI1, Saifur Ridz­wan Mustafa berkata, program tersebut melibatkan kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat sekali gus memberi keseronokan buat murid-murid.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, pihak sekolah pernah menganjurkan program seperti pesta wau namun tahun ini, kita tampilkan sedikit kelainan dengan julung kalinya menganjurkan Program Pesta Angin Timur peringkat sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Saifur berkata, selain layang-layang moden, terdapat juga di antara peserta yang menghasilkan sendiri wau tradisional se­perti Wau Jala Budi.

Katanya, layang-layang atau wau perlu sentiasa diketengahkan bagi memberi pendedahan buat kanak-kanak mengenai permainan tradisional di negara ini.

“Kebanyakan murid sekolah ini juga tinggal di kawasan taman dan tiada lokasi sesuai untuk bermain wau. Jadi kita ambil kesempatan musim angin timur ini untuk laksanakan program ini yang dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan sekolah bersama ibu bapa.

“Sebelum hari penganjuran, kita juga mengambil tempahan bagi membeli layang-layang buat murid-murid dengan harga berpatutan secara dalam talian untuk digunakan mereka,” katanya.

Saifur berkata, selain permainan wau, terdapat beberapa acara lain turut dianjurkan seper­ti permainan belon air dan sukaneka ringkas selain penampilan isti­mewa karakter animasi terkemuka Papazola bagi menceriakan suasana.

Katanya, idea penganjuran program itu adalah hasil cetusan guru-guru sekolah tersebut yang sememangnya kreatif dalam mencipta kelainan buat murid-murid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×