BEIJING: Robot humanoid buatan syarikat China, Unitree G1, mencipta sejarah selepas berjaya berjalan lebih 130,000 langkah dalam keadaan cuaca sejuk melampau di wilayah Altay, Xinjiang.
Logo Sukan Olimpik Musim Sejuk turut dilakar robot tersebut di atas permukaan ais dengan tepat ketika suhu mencecah negatif 47.4 darjah Celsius
Menurut laporan stesen televisyen CCTV, ia adalah kali pertama sebuah robot humanoid berjaya melaksanakan pergerakan sepenuhnya dalam keadaan sejuk yang begitu ekstrem.
Bagi memastikan robot itu mampu bertahan dalam persekitaran yang sangat mencabar, Unitree G1 telah menjalani beberapa pengubahsuaian khas termasuk dipakaikan jaket tebal berwarna jingga dan sarung pelindung plastik pada bahagian kakinya.
Secara teknikalnya, robot itu bergantung sepenuhnya kepada Sistem Satelit Navigasi BeiDou milik China yang membekalkan data kedudukan masa nyata dengan ketepatan manakala sistem perancangan laluan adaptifnya membantu ia berjalan merentasi salji.
Mula dilancarkan pada Mei 2024, Unitree G1 mempunyai berat sekitar 35 kilogram dengan ketinggian kira-kira 127 sentimeter.
Kehebatan mekanikalnya disokong oleh 23 hingga 43 motor sendi yang mampu menghasilkan daya kilas maksimum sehingga 120 newton-meter.
Robot berteknologi tinggi itu ditawarkan pada harga bermula 99,000 yuan (RM56,065) di pasaran China.
Menurut syarikat Omdia and Counterpoint Research, firma Unitree yang berpangkalan di Hangzhou baru-baru ini turut diiktiraf sebagai syarikat robotik kedua terbesar di dunia berdasarkan jumlah penghantaran dan pemasangan robot..
Data menunjukkan Unitree telah menghantar kira-kira 4,200 unit robot humanoid yang mewakili sekitar 26 hingga 32 peratus daripada pegangan pasaran global, sehingga mengukuhkan kedudukan China dalam persaingan teknologi robotik dunia. – AGENSI










