Ambil upah panjat 40 pokok duku sehari

Ambil upah panjat 40 pokok duku sehari

MOHAMAD Firdaus Asing (tengah) bersama Suhami (kanan) dan Khaidin (belakang) mengisi buah duku Terengganu ke dalam bakul di Kampung Ulu Sungai di Raub, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Tiga beradik Orang Asli memanjat sehingga 40 batang pokok duku Terengganu setinggi 15 meter sehari di Kampung Ulu Sungai, Batu Malim di sini, demi mencari rezeki.

Mohamad Firdaus Asing, 40, berkata, sudah lima tahun dia melakukan kerja itu bersama adiknya, Suhaimi, 35, dan Khaidin, 20, iaitu sejak 2021.

“Kami mengambil upah memanjat pokok setiap kali musim buah rambutan, duku, langsat, manggis, pulasan, taban, petai dan lain-lain tidak kira di mana tempat termasuk hutan untuk memanjat pokok demi mencari rezeki.

“Saya dan dua beradik tidak berdepan masalah ketika bekerja kerana kami sudah biasa memanjat pokok tinggi, khususnya pokok buah-buahan tua,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Ulu Sungai di sini, semalam.

Menurut Mohamad Firdaus, musim ini buah duku Terengganu di Kampung Ulu Sungai begitu lebat buahnya dan kebanyakan pokok perlu dipanjat segera bagi mengelakkannya gugur.

Katanya, upah yang dibayar, iaitu RM1 sekilogram buah yang dipungut dan masing-masing mem­peroleh antara RM150 hing­ga RM200 seorang dalam sehari bekerja di kebun buah-buahan itu.

Sementara itu, Suhaimi ber­kata, dia beberapa kali berdepan detik cemas apabila disengat serangga seperti temingat dan lebah ketika memanjat pokok buah duku Terengganu tetapi mujurlah cepat turun.

“Dalam sehari kami bersama rakan pekerja lain mengambil dan menurunkan buah duku Terengganu sebanyak 50 buah bakul masing-masing seberat 25 kilogram.

“Setiap hari hampir 1,250 kilogram buah duku Terengganu diturunkan daripada pokok dan dibayar upah RM1 sekilogram termasuk mengisi ke dalam bakul bersama enam pekerja yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×