PETALING JAYA: Tindakan polis menahan peserta Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram sebelum ia bermula semalam, wajar dipersoalkan kerana hak untuk berhimpun secara aman dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
Katanya, hak itu merupakan hak asasi yang hanya boleh dikenakan sekatan secara sah, munasabah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah memberi jaminan bahawa rakyat dibenarkan berhimpun selagi tidak mencetuskan kekacauan.
“Namun, amat menghairankan apabila perhimpunan semalam masih belum bermula, tetapi tindakan penangkapan telahpun dilakukan.
“Apabila anda menjadi pembangkang kelak, jangan pula bersuara lantang menuntut hak untuk berhimpun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, pengamal undang-undang, Haniff Khatri Abdulla antara peserta perhimpunan yang ditahan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan tangkapan melibatkan penganjur perhimpunan, Zamri Vinoth dan beberapa individu lain.
Selain itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim dan seorang individu dikenali sebagai Tamim Dahri Abdul Razak turut ditahan.
Difahamkan, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










