PETALING JAYA: Pihak tertentu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menilai semula tindakan dan kelakuan sendiri sebelum mendesak Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, desakan terhadap Muhyiddin bukan perkara baharu, sebaliknya dilakukan berulang kali melalui pelbagai cara termasuk akuan bersumpah (SD), sidang akhbar dan kenyataan media, pembocoran surat serta tuduhan yang didakwa dimanipulasi.
“Tindakan itu jelas mencerminkan sikap dwistandard, khususnya apabila pihak sama tidak bersedia menerima cadangan agar Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pula bertanggungjawab atas kegagalan melaksanakan tugas dan peranannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, kegagalan tersebut termasuk prestasi Hamzah ketika memegang jawatan sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah, selain kegagalan mengawal penyokong-penyokongnya yang didakwa berulang kali melanggar perlembagaan serta disiplin parti.
“Namun apabila dicadangkan supaya Timbalan Presiden sendiri didesak berundur atas kegagalan ini, mereka bertindak melenting. Ini menunjukkan prinsip akauntabiliti tidak diterapkan secara konsisten,” katanya.
Tun Faisal berkata, sekiranya prinsip tanggungjawab kepemimpinan benar-benar dihormati, ia mesti dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan atau individu.
Menurutnya, budaya menu-ding jari tanpa muhasabah diri hanya akan melemahkan parti dan menjejaskan kepercayaan ahli serta akar umbi terhadap kepimpinan Bersatu.
Semalam media melaporkan, Tun Faisal, perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti susulan kenyataannya yang menggesa Hamzah meletakkan jawatan.
Kenyataan tersebut didakwa dibuat tanpa mandat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan mencabuli disiplin kepimpinan parti.
Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon berkata, kenyataan berkenaan tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat MPT, malah tidak dirujuk kepada ketua-ketua bahagian sebelum dikeluarkan kepada umum. – UTUSAN










