Guardiola rayu benarkan Guehi bermain final Piala Liga

Guardiola rayu benarkan Guehi bermain final Piala Liga

Penyerang Manchester City, Omar Marmoush meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan, Tijjani Reijnders (tengah) dan Antoine Semenyo dalam aksi Piala FA menentang Newcastle United di Stadium Etihad, Manchester, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola akan merayu kepada Liga Bolasepak Inggeris (EFL) agar membenarkan Marc Guehi beraksi pada final Piala Liga menentang Arsenal meskipun pemain pertahanan England itu tidak layak beraksi mengikut peraturan sedia ada.

Guehi yang menyertai City dari Crystal Palace bulan lalu, hanya mampu menyaksikan dari tepi padang pasukannya menewaskan Newcastle United 3-1 pada aksi separuh akhir kedua, semalam untuk mengesahkan kemaraan menerusi agregat 5-1.

City dijadualkan berdepan Arsenal dalam final pada 22 Mac ini, namun Guehi tidak dibenarkan beraksi kerana menyertai kelab selepas perlawanan separuh akhir pertama berlangsung.

Situasi itu berbeza dengan Antoine Semenyo yang turut menyertai City bulan lalu dari Bournemouth, namun layak beraksi dalam Piala Liga musim ini sementara Guehi pula terikat dengan peraturan kejohanan yang mengehadkan pendaftaran pemain selepas peringkat tertentu.

Guardiola mengakui tidak menjangka sama ada permohonan tersebut akan diluluskan, namun beliau tetap mahu mencuba memandangkan masalah di benteng pertahanan City musim ini serta ancaman besar yang bakal dibawa Arsenal di pentas final.

“Kenapa dia tidak boleh bermain? Kenapa tidak?. Dia pemain kami, kami bayar gajinya dan kami yang menandatanganinya.

“Kami mahu memohon. Saya beritahu kelab kami perlu memohon. Saya tidak faham sebab dia tidak boleh bermain di final Piala Liga pada Mac sedangkan dia sudah lama bersama kami.

“Sudah tentu kami akan memohon kerana ia logik tetapi untuk menukar peraturan, mungkin tidak. Namun kami akan cuba,” katanya.

Dalam aksi separuh akhir itu, Omar Marmoush muncul wira City apabila penyerang Mesir tersebut meledak dua gol awal sebelum Tijjani Reijnders menambah jaringan ketiga sebelum rehat, sekali gus meranapkan sisa kebangkitan Newcastle.

Gol sagu hati Newcastle hadir menerusi Anthony Elanga pada minit ke-62 ketika City memperlahankan tempo permainan selepas selesa mendahului.

Kejayaan itu menyaksikan City kembali ke final Piala Liga buat kali pertama sejak 2021, ketika mereka memburu kejuaraan kelima di bawah kendalian Guardiola.

Meskipun ketinggalan enam mata di belakang Arsenal dalam saingan EPL selepas seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur hujung minggu lalu, kemaraan ke Wembley dilihat sebagai suntikan moral penting buat skuad kendalian Guardiola. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×