Johor tetap RM8, RM10 dan RM20 zakat fitrah tahun 2026

Johor tetap RM8, RM10 dan RM20 zakat fitrah tahun 2026

MOHD. Fared Mohd. Khalid (dua dari kiri) menyampaikan bantuan zakat pada Majlis Amanat 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor hari ini.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 2026 iaitu RM8, RM10 dan RM20 bergantung kepada kedudukan ekonomi individu termasuklah jenis beras yang dijadikan makanan harian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu tertakluk pada harga beras dengan kadar timbangan satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.6 kilogram.

Menurut beliau, harga beras tempatan dan peratusan penggunaannya diperoleh daripada Bahagian Kawalselia Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pemborong serta peruncit di negeri ini.

“Kadar zakat fitrah RM8 bagi umat Islam yang menjadikan beras tempatan sebagai makanan harian manakala RM10 bagi mereka yang menggunakan beras import dan RM20 khusus kepada mereka yang memakan beras import istimewa.

“Umat Islam yang bermukim di negeri ini wajib menunaikan zakat fitrah mereka di Johor, dimana pembayaran boleh dibuat kepada amil bertauliah dan diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) atau membuat bayaran secara dalam talian,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2026 yang diadakan di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Mohd. Fared turut memberitahu, umat Islam digalakkan untuk menunaikan pembayaran zakat fitrah pada awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada asnaf, fakir dan miskin dilaksanakan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“MAINJ telah melantik dan memberi tauliah kepada seramai 1,672 amil untuk memungut bayaran zakat fitrah di seluruh negeri. Pada masa sama amil-amil terbabit juga akan melakukan tugas membanci fakir miskin di kariah masing-masing.

“Tahun ini kami mengunjur pungutan fitrah berjumlah RM27,327,222 dengan anggaran seramai 2,295,101 individu Muslim di negeri ini membuat pembayaran.

Kadar bayaran zakat fitrah negeri ini tahun lalu ditetapkan pada kadar RM7, RM12 dan RM20. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×