BESUT: Tamat perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak sembilan bulan lalu bukan alasan berehat di rumah sebaliknya menjadi titik permulaan buat seorang pesara terjun ke dalam bidang penternakan ikan keli.
Mohd. Arikan Ali, 42, yang dahulu hidupnya hanya bertumpu mencurahkan bakti kepada negara berubah 360 darjah apabila bergelar pesara setelah 21 tahun berkhidmat.
“Pada peringkat awal bersara, saya seperti terkena kejutan budaya memandangkan sebelum ini saya sibuk dengan tanggungjawab sebagai seorang tentera. Apabila tidak lagi berkhidmat seolah-olah tiada sebarang pekerjaan untuk dilakukan.
“Dari itu tercetusnya idea untuk menceburi bidang penternakan ikan keli yang dimulakan secara kecil-kecilan di halaman belakang rumah ini dan sekarang menjadi pendapatan utama saya menyara keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Oh, Jabi di sini.
Mohd. Arikan berkata, menggunakan modal sebanyak RM80,000, dia membina sembilan buah kolam yang mampu memuatkan kira-kira 30,000 ekor ikan keli dalam satu-satu masa.
Usaha iu mendatangkan hasil apabila selepas tiga bulan dia mampu meraih jualan dianggarkan RM15,000 sebulan.
Katanya, setelah hasil pertama dijual, dia melihat peluang menjadi seorang penternak sangat besar jika diusahakan secara bersungguh-sungguh dan memerlukan matlamat yang jelas.
“Alhamdulillah, walaupun masih awal dalam bidang ini namun ia seolah-olah memberi sinar baharu kepada saya untuk terus berjuang dengan dorongan isteri, Mazlina Mat Isa, 44. – UTUSAN











