Praveen Rajan kini CEO baharu PayNet

Praveen Rajan kini CEO baharu PayNet

PRAVEEN RAJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) melantik Praveen Rajan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Pelantikan tersebut adalah susulan daripada proses peralihan kepimpinan strategik yang telah diumumkan pada September 2025, bertujuan memastikan kelangsungan mandat PayNet sebagai tunjang infrastruktur pembayaran nasional.

Menurut PayNet, Praveen sebelum ini telah menyertai syarikat tersebut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Dilantik (CEO-Designate) bermula 1 Disember 2025. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Tempoh dua bulan tersebut telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk bekerjasama rapat dengan barisan pengurusan terdahulu bagi memastikan proses penyerahan tugas berjalan lancar dan teratur.

Pengerusi PayNet, Datuk Izzaddin Idris berkata, lembaga pengarah menyambut baik pelantikan Praveen bagi meneruskan agenda syarikat setelah fasa peralihan yang teliti dilaksanakan.

“Pengumuman awal serta pewujudan tempoh Ketua Pegawai Eksekutif Dilantik telah membolehkan proses penyerahan tugas dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memastikan PayNet terus bergerak ke hadapan dengan kestabilan dan kesinambungan dalam melaksanakan mandatnya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai pelantikannya, Praveen mengakui peranan penting yang dimainkan oleh PayNet dalam ekosistem kewangan negara serta kehidupan seharian rakyat Malaysia.

“Sepanjang dua bulan lalu, saya telah bekerjasama dengan pasukan yang amat komited dan saya menggalas tanggungjawab ini dengan penuh penghargaan terhadap usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Fokus utama saya kini adalah untuk memperkukuh kekuatan sedia ada melalui pendekatan yang jelas, meningkatkan ketahanan serta kestabilan operasi, di samping berinteraksi secara lebih aktif dengan pemain industri serta rakan strategik bagi menyokong ekonomi digital negara,” katanya. 

Di bawah kepimpinan baharu ini, keutamaan strategik PayNet kekal tidak berubah dengan tumpuan khusus terhadap kebolehpercayaan dan keselamatan sistem pembayaran, usaha membanteras penipuan kewangan, serta memperluas keterangkuman kewangan.

Praveen mengambil alih kepimpinan daripada Farhan Ahmad yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Januari 2026. 

Farhan sebelum ini berjaya memimpin PayNet mengharungi fasa pertumbuhan pesat dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai infrastruktur pembayaran bersama yang dipercayai di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini