Ringgit gah tapi rakyat goyah

Ringgit gah tapi rakyat goyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RINGGIT mencipta sejarah pada bulan lalu apabila mengukuh ke paras 3.99 berbanding dolar Amerika Syarikat. Ini kedudukan paling hebat dalam lebih tujuh tahun.

Pencapaian ini disambut meriah sebagai bukti kejayaan dasar ekonomi kerajaan dan kekuatan asas negara. Media perdana menghebahkan prestasi cemerlang ini dengan penuh bangga, melaungkan kejayaan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia dengan peningkatan mengejutkan sebanyak 10.3 peratus sepanjang 2025.

Namun di sebalik gegak gempita ini, tersembunyi paradoks yang mengusik, kenapa rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang mencengkam sedangkan ekonomi negara kononnya berkembang pesat?

Kenapa gaji masih rendah walaupun jumlah dagangan negara mencecah rekod tertinggi? Kenapa Bursa Malaysia layu dan tidak menarik minat pelabur tempatan sedangkan pelaburan asing melonjak naik?

Tidak adil mengabaikan pencapaian sebenar ekonomi Malaysia pada 2025. Prestasi perdagangan negara memang luar biasa dengan jumlah dagangan mencatat RM3.06 trilion dengan peningkatan 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dan angka tertinggi dalam sejarah.

Lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion menandakan tahun ke-28 berturut-turut sejak 1998, ia pencapaian yang konsisten dan patut dipuji.

Eksport negara tumbuh 6.5 peratus kepada RM1.607 trilion, didorong terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang terus menjadi nadi ekonomi negara. Ini mencerminkan kemampuan Malaysia untuk terus bersaing dalam rantaian bekalan global, khususnya industri semikonduktor dan teknologi tinggi yang kini menjadi pertarungan strategik antara kuasa besar dunia.

Aliran masuk pelaburan langsung asing turut memberangsangkan, melonjak kepada RM8.5 bilion pada suku ketiga 2025 berbanding hanya RM1.6 bilion pada suku kedua. Ini menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap prospek Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia juga kukuh dengan aset bersih meningkat kepada RM77.3 bilion menjelang akhir suku ketiga 2025.

Tetapi inilah masalahnya, pengukuhan ringgit ini sangat bergantung kepada perkara di luar kawalan. Faktor utama mengukuhkan ringgit bukanlah semata-mata kerana ekonomi negara terlalu hebat tetapi kerana Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah. Apabila kadar faedah AS turun manakala Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, maka perbezaan kadar faedah menyempit dan menjadikan ringgit lebih menarik.

Ini bermakna kestabilan ringgit masih terikat kepada keputusan penggubal dasar di Washington, bukan Putrajaya.

Apabila keadaan di AS berubah, kedudukan ringgit juga akan terjejas. Kita tidak boleh terus bergantung kepada nasib baik faktor luaran yang sementara. Kestabilan mata wang sebenar harus lahir daripada kekuatan ekonomi domestik yang kukuh dan berterusan.

Profesor Geoffrey Williams, pengasas dan pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd memberikan kritikan tajam yang perlu direnung dengan serius. Williams menegaskan masalah teras ekonomi Malaysia bukanlah kestabilan harga mata wang tetapi pendapatan struktur yang rendah dan tidak berkembang.

Walaupun kadar pengangguran dijangka kekal rendah, namun fenomena pekerjaan tidak setara dengan kelayakan terus merundung rakyat. Ramai yang bekerja tetapi tidak dibayar mengikut kelayakan mereka. Ramai yang mempunyai ijazah tetapi terpaksa menerima kerja yang tidak memerlukan pendidikan tinggi. Ramai yang bekerja lebih masa tetapi gaji masih tidak cukup untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat.

Inilah jurang tragis antara prestasi makroekonomi dengan kesejahteraan sebenar isi rumah. Apabila kerajaan berbangga dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dagangan yang meningkat tetapi lepas pandang terhadap kehidupan rakyat yang masih tercungap-cungap untuk membayar sewa rumah, ansuran kereta, yuran sekolah anak dan bil bulanan yang tidak pernah berhenti meningkat.

Pertumbuhan ekonomi tidak diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan sebenar rakyat, inilah kegagalan struktur yang paling kritikal.

Satu lagi ironi yang menyakitkan ialah pelaburan domestik kekal lemah walaupun pelaburan asing melonjak. Bursa Malaysia mencatatkan prestasi yang mengecewakan dengan pulangan lima tahun menunjukkan angka negatif, berbeza ketara dengan prestasi cemerlang S&P 500 di AS.

Apa maksudnya ini? Ia bermakna pelabur tempatan sendiri tidak yakin dengan prospek syarikat Malaysia. Mereka lebih suka melabur di luar negara daripada menyokong pasaran saham tempatan. Ini mencerminkan masalah keyakinan yang mendalam terhadap daya saing korporat dan persekitaran perniagaan negara.

Apabila wang rakyat lari ke luar negara untuk mencari pulangan yang lebih baik, ini adalah tanda amaran besar yang tidak boleh diabaikan. Kita tidak boleh terus bergantung kepada pelaburan asing semata-mata sambil membiarkan pelabur tempatan kehilangan kepercayaan terhadap ekonomi sendiri.
Malaysia kini terperangkap dalam tiga kekangan kritikal yang mengancam masa hadapan ekonomi jangka panjang. Pertama, peraturan berlebihan yang membebankan perniagaan dan mematikan semangat keusahawanan.

Kedua, persepsi rasuah yang berterusan merosakkan keyakinan pelabur dan menaikkan kos menjalankan perniagaan.

Ketiga, peningkatan daya tarikan pesaing serantau seperti Vietnam yang lebih agresif menarik pelaburan dan melaksanakan reformasi ekonomi.

Pertumbuhan produktiviti buruh Malaysia masih jauh tertinggal. Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) menyasarkan pertumbuhan produktiviti 3.7 peratus setahun tetapi purata sebenar yang dicapai hanya sekitar 2 peratus. Ini adalah jurang yang serius. Tanpa peningkatan produktiviti yang ketara, Malaysia tidak akan mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi yang dicita-citakan.

Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengenal pasti reformasi struktur yang perlu dilaksanakan dengan segera iaitu pembaharuan sistem pendidikan untuk melahirkan modal insan berkualiti, pelaburan dalam inovasi dan penyelidikan. Ia juga melibatkan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh, dasar persaingan yang adil, pemodenan pasaran buruh serta sokongan komprehensif kepada perusahaan kecil dan sederhana.

 

JALAN KE HADAPAN
Pengukuhan ringgit pada 2025-2026 adalah pencapaian yang patut disyukuri tetapi tidak sepatutnya membutakan mata kita terhadap cabaran struktur yang lebih mendalam dan mendesak.

Prestasi perdagangan yang cemerlang dan aliran masuk modal asing memberikan momentum positif jangka pendek tetapi tidak menyelesaikan masalah teras iaitu produktiviti rendah, pendapatan struktur tidak meningkat, pelaburan domestik lemah dan daya saing terus merosot.

Keyakinan terhadap ringgit dan ekonomi negara perlu dibina bukan atas faktor luaran sementara dan tidak menentu tetapi transformasi struktur ekonomi yang kukuh dan mampan.

Kita perlukan peningkatan produktiviti yang sebenar melalui pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran yang relevan. Kita perlukan budaya inovasi yang dipupuk dengan serius. Kita perlukan modal insan yang berkemahiran tinggi dan boleh bersaing di peringkat global. Kita perlukan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif, telus dan bebas daripada rasuah.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Penolong Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×