KUALA LUMPUR: Rakyat China paling ramai memberi rumah di bawah Program Malaysia My Second Home (MM2H), iaitu sebanyak 304 unit setakat 31 Disember tahun lalu.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia diikuti rakyat Taiwan dengan 91 unit, Singapura (63), Amerika Syarikat (41) dan United Kingdom (40).
Pembeli lain dari Hong Kong sebanyak 34 unit, Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15), Indonesia (14) dan Jepun (14).
“Secara keseluruhan seramai 744 peserta MM2H telah membeli rumah di Malaysia, manakala 2,637 peserta lain masih dalam proses pembelian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Isam (BN-Tampin) yang meminta kementerian menjelaskan usaha untuk mengurangkan dominasi penyertaan dari China dan Taiwan serta memperluas promosi MM2H ke negara-negara Asia Barat.
Tiong berkata, program MM2H terbuka kepada semua negara dan tidak hanya tertumpu kepada China dan Taiwan.
“MM2H ini memang terbuka kepada seluruh dunia. Jangan bawa masuk unsur politik. Kita beri peluang kepada semua negara.
“Contohnya negara-negara Arab memang ada yang membeli rumah, tetapi jumlahnya masih kecil. Oleh itu, kita akan tingkatkan promosi di negara-negara tersebut,” katanya. – UTUSAN










