Bina semula kepercayaan dalaman dan luaran ATM - Utusan Malaysia

Bina semula kepercayaan dalaman dan luaran ATM

MOHAMED Khaled Nordin (kiri) dan Siti Juana Md. Ibrahim memakaikan pangkat kepada Malek Razak Sulaiman dalam Majlis Pelantikan PAT Ke-24 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan kepemimpinan tertinggi yang bukan sahaja berwibawa daripada sudut operasi, malah mampu menjadi pemacu nilai profesionalisme dan integriti.

Pelantikan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-24 merupakan pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran bagi memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati.

Majlis pelantikan berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan di sini, semalam disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Turut memakaikan pangkat kepada Malek Razak ialah isterinya, Datin Siti Juana Md. Ibrahim.

Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan berkata, pelantikan Malek Razak membawa mandat memperkukuh tatakelola, akauntabiliti serta disiplin kepimpinan dalam usaha melaksanakan penetapan semula institusi secara menyeluruh.

“Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi.

“Pelantikan ini juga dilihat sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi yang menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan.

Malek Razak memulakan perkhidmatan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom (UK) dan ditauliahkan pada 11 Disem­ber 1987 sebagai Lefte­nan Muda.

Beliau memiliki Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) UKM.

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kecemerlangan dan kepimpinan berwibawa bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum memegang pelbagai jawatan pemerintahan dan staf.

Jawatan terakhir beliau ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Dengan pengalaman luas dan kredibiliti tinggi, pelantikan Malek Razak diyakini memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam menghadapi cabaran pertahanan negara, memulihkan wibawa institusi serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap pertahanan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×