PUTRAJAYA: Siasatan terhadap kes rasuah tidak dibatasi tempoh masa tertentu termasuklah kes-kes yang telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, undang-undang Malaysia tidak menetapkan sebarang had tempoh bagi kesalahan jenayah, lantas membolehkan siasatan diteruskan sekiranya wujud bukti baharu.
Katanya, siasatan juga boleh dibuka semula jika terdapat dokumen palsu atau petunjuk tambahan.
“Mana-mana kes walaupun kes itu mungkin pada ketika dahulu mengatakan tidak ada kes tapi sekiranya ada bukti-bukti palsu ataupun petunjuk baharu, SPRM akan menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama Antara SPRM dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di sini, semalam.
Melalui jawapan bertulis di Dewan Negara, setakat September 2025, sebanyak 41 daripada 60 kertas siasatan membabitkan kes jenayah ahli politik sejak 2020 hingga Julai 2025 diklasifikasikan sebagai NFA.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti secara menyeluruh semua keterangan yang dikemukakan polis tanpa mengambil kira latar belakang individu disiasat berhubung mekanisme atau garis panduan bagi memastikan klasifikasi NFA tidak dipengaruhi campur tangan politik.
Azam berkata, tindakan tersebut selaras peranan SPRM untuk memastikan sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Beliau berkata, sudah banyak kes yang disiasat semula secara profesional berlandaskan undang-undang apabila wujud perkembangan baharu demi melindungi kepentingan awam.
Katanya, adalah penting bagi memastikan keadilan ditegakkan serta mengekang rasuah daripada terus berulang.
“Banyak perkara telah dilihat di mana banyak kes yang terdahulu sama ada tuan-tuan suka tak suka, kita meneruskan siasatan,” katanya. – UTUSAN









