1,300 dikerah padam kebakaran tanah gambut - Utusan Malaysia

1,300 dikerah padam kebakaran tanah gambut

KEBAKARAN di Ladang Peninsular Plantation Sdn. Bhd., Simpang Renggam, Johor yang melibatkan empat hektar ladang kelapa sawit dan lima hektar ladang nanas. – UNIT DRON JBPM JOHOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 1,300 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malay­sia (JBPM) dikerah mengawal ke­bakaran hutan dan tanah gam­but seluas kira-kira 161.16 hek­tar sejak Rabu lalu di seluruh Johor.

Pengarah JBPM Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir berkata, seta­kat ini kebakaran melibatkan ka­wasan di Johor Bahru, ­Kluang, Muar serta Kota Tinggi.

Beliau berkata, kebakaran ter­buka adalah fenomena biasa, na­mun keadaan cuaca yang panas dan kering serta angin kuat me­nyebabkan api merebak dengan lebih pantas dan sukar dijangka.

Jelasnya, setakat pukul 6 petang semalam, kebakaran di Johor Bahru telah dipadamkan sepenuhnya manakala Kluang sebanyak 57.14 peratus, Muar (65 peratus) dan Bio Desaru (57.14 peratus).

“Kebakaran terbuka (termasuk kebakaran tanah gambut) adalah antara kejadian yang kerap diterima bomba, namun apabila keadaan cuaca panas dan angin kuat memudahkan api merebak.

“Punca utama kejadian kali ini selain disebabkan cuaca, lapisan tanah gambut juga mudah terbakar termasuk dari bawah tanah (smouldering), bukan hanya di permukaan.

“Sejak 28 Januari lalu, ke­seluruhan kawasan kebakaran dilaporkan berlaku di negeri ini membabitkan kawasan seluas 161.16 hektar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahad lalu, kebakaran hutan berlaku di Bio Desaru melibatkan kawasan berkeluasan 28.3 hektar.

Pada 30 Januari, kebakaran tanah gambut berlaku membabitkan empat hektar ladang kelapa sawit dan lima hektar ladang nanas di Ladang Peninsular Plantation Sdn. Bhd., Simpang Renggam.

Sebelum ini, insiden sama turut berlaku di Pengerang dan Muar.

Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, anggota pe­nyelamat menggunakan pelbagai kaedah antaranya penggunaan khidmat helikopter melalui teknik pengeboman air (water bom­bing).

Selain itu, teknik fire break iaitu mengepung kawasan kebakaran dan kemudian membanjirkannya turut digunakan.

Siti Rohani berkata, pihaknya tidak berdepan masalah kekurangan anggota, namun cabaran dihadapi adalah melibatkan isu logistik serta sumber bekalan air.

“Selain jentera bomba, pelbagai peralatan turut digunakan termasuk unit dron. Saya menasihatkan orang awam agar mengelakkan diri daripada sebarang aktiviti berkaitan pembakaran terbuka. Peka ter­hadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU),” katanya.

Menceritakan situasi di lo­kasi, Timbalan Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, seorang anggota yang terlibat dalam operasi di Jalan Tuatau, Bandar Penawar mengalami kelecuran di bahagian kaki.

“Anggota terbabit masih muda, baharu berusia 20 tahun dan mengalami kecederaan itu selepas kakinya terjerlus memasuki kawasan tanah ketika operasi memadam kebakaran.

“Syukur alhamdulillah anggota berada dalam keadaan stabil dan telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar. Ini antara cabaran dihadapi mereka memadam kebakaran, kawasan persekitaran juga memberikan cabaran berbeza,” katanya.

NUR Fitrah Syuhada Asmayor (depan) sedang memadam kebakaran tanah gambut di Kluang, Johor.

Sementara itu, anggota wani­ta yang terlibat dengan operasi pemadaman di Kluang, Nur Fitrah Syuhada Asmayor, 23, berkata, kebakaran tanah gambut kali ini merupakan pengalaman pertamanya sejak menyertai JBPM pada November 2024.

Katanya, situasi di tanah gambut berbeza berbanding memadam kebakaran di lokasi lain kerana perlu berada di lokasi berjam-jam lamanya.

“Memadam kebakaran ta­nah gambut tidak sama seperti kebakaran di tempat lain se­perti kenderaan atau bangunan. Tempoh masanya lama sehingga berjam-jam dan berhari-hari.

“Sepanjang waktu itu, tumpuan sepenuhnya perlu diberi bagi memastikan api yang te­lah dipadam tidak marak kembali dan baranya yang berada dalam tanah terpadam sama.

“Setelah selesai baharulah boleh berpindah ke lokasi lain, ditambah lagi kepenatan fizikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×