21 Mei keputusan Indira Gandhi cabar penukaran agama kanak-kanak

21 Mei keputusan Indira Gandhi cabar penukaran agama kanak-kanak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Mei bagi keputusan terhadap permohonan M. Indira Gandhi yang mencabar kesahan peruntukan undang-undang negeri berkaitan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral.

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Datuk Aliza Sulaiman selepas mendengar hujahan kesemua pihak.

Indira mencabar undang-undang tersebut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang memihak kepadanya selepas mahkamah memutuskan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam hampir 10 tahun lalu adalah terbatal dan tidak sah.

Indira selaku plaintif diwakili peguam, Rajesh Nagarajan berhujah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 telah menetapkan bahawa penukaran agama kanak-kanak mesti dibuat dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Keputusan itu menjadikan peruntukan undang-undang negeri yang membenarkan tindakan unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai alternatif, plaintif memohon suatu perisytiharan susulan bahawa mana-mana dan semua penukaran agama secara unilateral yang berlaku di Malaysia sejak tarikh Keputusan Indira Gandhi 2018 adalah tertakluk kepada persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun hendaklah ditentukan oleh kedua-dua ibu bapa. Sebarang peruntukan undang-undang yang bercanggah adalah tidak berperlembagaan.

“Enakmen negeri berkaitan yang membenarkan penukaran agama secara unilateral adalah, setakat mana percanggahan tersebut, tidak sah menurut Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang tindakan yang diambil berdasarkan undang-undang berkenaan hendaklah diisytiharkan batal dari awal,” katanya.

Permohonan itu difailkan terhadap tujuh kerajaan negeri termasuk Kerajaan Wilayah-Wilayah Persekutuan selaku defendan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebagai pencelah.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili defendan kelapan berkata, Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai dalam kes berkenaan kerana istilah “undang-undang Persekutuan” tidak merangkumi peruntukan Perlembagaan itu.

Katanya, Perkara 75 yang terkandung dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengawal hubungan antara Persekutuan dan negeri, justeru rujukan kepada peruntukan tersebut adalah tidak relevan dan hujahan plaintif berhubung perkara itu wajar ditolak pada peringkat awal.

“Perkara 75 terpakai apabila wujud percanggahan atau ketidakselarasan antara undang-undang negeri dan undang-undang Persekutuan.

“Adalah jelas bahawa saman pemula ini tidak diasaskan atas dakwaan bahawa peruntukan undang-undang yang dicabar bercanggah dengan undang-undang Persekutuan.

“Oleh itu, rujukan kepada Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan adalah sama sekali tidak relevan dengan perkara ini dan hujahan plaintif berhubung isu tersebut wajar ditolak pada peringkat awal (in limine),” katanya.

Sementara itu, Arham Rahimy Hariri mewakili MAIWP sebagai pencelah berhujah bahawa plaintif tidak mempunyai locus standi untuk meneruskan saman pemula tersebut kerana gagal membuktikan kewujudan kemudaratan sebenar terhadap hak peribadi.

Menurutnya, plaintif juga tidak dapat membuktikan sebarang fakta yang menunjukkan mereka terkesan secara langsung oleh tindakan pentadbiran penukaran agama di bawah enakmen negeri yang dicabar.

“Oleh itu, kami memohon agar mahkamah menolak saman pemula tersebut pada peringkat awal (in limine) kerana cabaran yang dibawa oleh plaintif adalah bersifat akademik dan abstrak semata-mata, tanpa sebarang pertikaian sebenar,” katanya.

Beliau turut berhujah bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menggunakan frasa “ibu atau bapa”, yang membawa maksud jelas bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa sudah mencukupi.

“Oleh itu, persetujuan seorang ibu atau bapa adalah memadai dari sudut perlembagaan bagi penukaran agama kanak-kanak, dan peruntukan undang-undang negeri yang dicabar adalah sah,” hujahnya.

Pada tahun 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, 21, Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×