ALOR SETAR: Eksekutif bank yang maut dipercayai dibunuh oleh anaknya dalam kejadian di Tanjung Bendahara, di sini semalam bakal berkahwin kali kedua, Jumaat ini.
Ibu tiri mangsa, Norsiah Yahya, 65, berkata, Allahyarham Zahrullail Basir, 52, bersama tunangnya berusia 57 tahun menziarahinya di Teluk Intan, Perak, Selasa lepas untuk membincangkan majlis pernikahan dan persandingan pada 13 dan 14 Februari ini.
“Majlis akan diadakan di rumah kami di Teluk Intan dan arwah bersama tunangnya datang untuk berbincang persiapan terakhir. Arwah sungguh gembira untuk berkahwin semula dan semua persiapan sudah disediakan termasuk hantaran.
“Tidak sangka jadi begini, majlis perkahwinan itu akhirnya akan menjadi majlis tahlil,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara di sini semalam.
Norsiah memberitahu, mereka menerima berita tentang kematian anak kedua daripada enam beradik itu kira-kira pukul 9 pagi sebelum bergegas ke Alor Setar.
“Suami (Basir Kosop, 70) dapat panggilan daripada anak ketiga mangsa yang beritahu ibunya ditikam, menggigil kami semua. Saya dimaklumkan kejadian disedari anaknya itu yang cuba mengejutkan arwah ketika ingin ke kolej.
“Mangsa tinggal bersama tiga anak berusia 18, 13 dan lapan tahun. Sementara tiga anak lain berumur 29, 28 dan 25 tahun menetap di luar. Anak keempat arwah sempat cerita tentang kejadian ada kesan tikaman pada beberapa bahagian badan. Kejadian ini amat kejam dan kami tidak menyangka ia terjadi kepada arwah yang juga seorang anak yang bertanggungjawab dan prihatin dengan kami,” katanya. – utusan











