120 pegawai kesihatan kawal penularan Virus Nipah

120 pegawai kesihatan kawal penularan Virus Nipah

DR. Mohd. Azman Yacob (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Sihat itu Saya (SIS) di Gelanggang Tenis, Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) me­nempatkan seramai 120 pegawai dan penolong pegawai kesihatan persekitaran di semua pintu masuk sempadan bagi mengesan sebarang kemungkinan penularan Virus Nipah ke negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, tindakan itu diambil susulan penularan virus berkenaan di beberapa negara berisiko terutama India walaupun Malaysia belum merekodkan sebarang kes jangkitan.

Katanya, penempatan petugas kesihatan itu dilaksanakan sejak minggu lalu melibatkan semua pintu masuk sempadan negeri termasuk di lapangan terbang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Simptom Virus Nipah se­perti demam dan batuk boleh membawa kepada komplikasi serius sehingga mengakibatkan kematian.

“Justeru itu, setiap individu yang memasuki negeri ini akan menjalani pemeriksaan suhu badan manakala pelawat dari negara berisiko melalui sari­ngan kesihatan lebih terperinci sebagai langkah pencegahan awal,” katanya selepas Majlis Peluncuran Program Sihat itu Saya (SIS) di Gelanggang Tenis, Padang Perdana di sini semalam.

Terdahulu, Kementerian Ke­sihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baharu jangkitan Virus Nipah dilaporkan di negara ini setakat ini susulan kejayaan membendung wabak penyakit berkenaan sejak September 1999.

Bagaimanapun, KKM memaklumkan, pihaknya kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik yang dilaporkan di beberapa negara lain.

Katanya, KKM terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan menerusi pelaksanaan saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) khususnya me­libatkan pengembara dari negara berisiko.

Sementara itu, Dr. Mohd. Azman berkata, JKNK merampas sebanyak 2,055 item kosmetik tidak bernotifikasi sepanjang tahun lepas dengan nilai rampasan mencecah RM55,213, manakala sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 66 item dirampas dengan nilai RM1,060.

Katanya, semua produk kosmetik terbabit didapati melanggar Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, iaitu produk kosmetik yang dipasarkan tanpa notifikasi sah daripada KKM.

“Antara kesalahan dikenal pasti adalah ketiadaan pela­belan yang betul, tiada maklumat tarikh luput, senarai bahan kandungan serta penggunaan label yang mengelirukan pengguna.

“Produk pemutih muka yang tidak berdaftar ini berpotensi mengandungi bahan berbahaya dan bersifat menghakis yang boleh merosakkan kulit serta menjejaskan kesihatan pengguna dalam jangka panjang,” ujarnya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×