PUTRAJAYA: Industri teksi di negara ini dibimbangi semakin pupus dalam jangkaan tempoh lima tahun lagi apabila jumlah pemandu yang suatu ketika dahulu mencecah sekitar 120,000 orang kini merosot kepada hanya kira-kira 28,000 pemandu sahaja di seluruh negara.
Kemerosotan drastik itu bukan disebabkan peralihan semula jadi pemandu kepada platform e-hailing, sebaliknya berpunca daripada pencabulan ekosistem pengangkutan awam susulan kemunculan perkhidmatan e-hailing yang didakwa tidak dikawal secara adil oleh kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, kegagalan mewujudkan peraturan seimbang antara teksi dan e-hailing menyebabkan pemandu teksi semakin terpinggir, sekali gus memaksa sebahagian besar daripada mereka meninggalkan industri itu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan, balik kampung atau terus hilang punca pendapatan.
“Ini bukan peralihan, ini pencabulan. Kalau peralihan, pemandu teksi berpindah secara terancang ke e-hailing. Tetapi apa yang berlaku, pemandu teksi dipaksa keluar kerana peraturan berat sebelah,” katanya di sini semalam.
Kamarudin berkata, purata pendapatan pemandu teksi kini di bawah garis kemiskinan dan kadar pendapatan minimum, sekitar RM1,200 hingga RM1,300 sebulan, walaupun bekerja 13 jam sehari bagi menampung kos sara hidup serta perbelanjaan operasi kenderaan.
Keadaan itu menjadi semakin buruk apabila kerajaan sehingga kini gagal menetapkan harga lantai bagi tambang perkhidmatan e-hailing, sekali gus membuka ruang kepada persaingan tidak sihat antara syarikat-syarikat platform yang sanggup ‘membuang harga’ demi menarik penumpang.
“Apabila harga dibuang, yang rugi adalah pemandu. Kos minyak, penyelenggaraan, tayar, insurans, semuanya ditanggung pemandu. Syarikat tidak keluarkan satu sen pun. Ini bukan persaingan sihat.
“Rungutan ini bukan hanya disuarakan gabungan persatuan teksi Malaysia, malah persatuan e-hailing dan rider. Kami merayu kerajaan supaya mendengar denyut nadi kami pemain industri yang perlu diberi hak mencari pendapatan bermaruah dalam negara,” tegasnya.
Kamarudin berkata, kesan jangka panjang situasi itu bukan sahaja menjejaskan pemandu e-hailing dan teksi, malah boleh menyebabkan sistem pengangkutan awam negara terus merudum, apabila pemandu gagal memperoleh pendapatan untuk menyara keluarga serta menggantikan kenderaan lama.
Katanya, Gabungan Teksi Malaysia sejak dua tahun lalu telah mengemukakan kertas cadangan kepada Kementerian Pengangkutan bagi melaksana penjenamaan semula industri teksi, termasuk memperkenalkan kenderaan baharu, latihan profesional serta penggunaan teknologi digital.
“Dalam pelaksanaan awal, kita gunakan kenderaan baharu dan pada masa depan kita akan perkenalkan teksi elektrik (EV). Selain itu, pemandu akan mengikuti kursus untuk meningkatkan profesionalisme,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM10 juta bagi latihan dan peningkatan kemahiran pemandu teksi, serta kerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dalam merangka hala tuju baharu industri berkenaan.
Mengulas persepsi negatif terhadap teksi, Kamarudin berkata, industri itu sedang membangunkan aplikasi dan sistem meter digital baharu yang membolehkan penumpang mengetahui kadar tambang lebih awal, sekali gus meningkatkan ketelusan dan menghapuskan isu ‘meter roket’.
“Penumpang boleh tahu tambang dari lokasi A ke B sebelum perjalanan bermula, sama ada melalui aplikasi atau paparan skrin sentuh dalam kenderaan. Ini soal ketelusan, bukan murah semata-mata,” jelasnya.
Kata Kamarudin, penetapan harga lantai tidak bermaksud menekan pengguna, sebaliknya memastikan kerajaan berada di tengah-tengah sebagai pengimbang antara kepentingan rakyat dan pemain industri. – UTUSAN











