SUNGAI PETANI: Isu melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hingga menyebabkan semua exconya meletak jawatan diharap tidak melunturkan semangat orang ramai untuk terus memberikan sokongan terhadap sukan nombor satu negara itu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari yakin di sebalik isu yang berlaku, sukan diminati ramai itu diyakini akan terus mendapat sokongan bukan sahaja peminat bola sepak tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Saya berharap agar semangat rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak tidak luntur dan mampu untuk mengembalikan kepercayaan serta persepsi rakyat terhadap bola sepak Malaysia masa hadapan.
“Sukan bola sepak merupakan salah satu sukan yang mempunyai ramai peminat jadi saya harap FAM dapat selesaikan isu ini dengan baik, teratur dan penuh tanggungjawab,” katanya selepas meninjau sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di sini, hari ini.
Mohamed Taufiq berkata, beliau buat masa ini enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut kerana mahu memberi ruang kepada badan induk bola sepak negara untuk menguruskannya.
“Kita harap FAM buat keputusan yang terbaik untuk mengembalikan semula kegemilangan pentadbiran bola sepak dan sebagai menteri yang bertanggungjawab saya menghormati apa jua keputusan badan itu sebagai satu tindakan terbaik.
“Kita tunggu dan lihat tindakan selanjutnya kerana saya tidak boleh memberikan sebarang komen yang lebih daripada itu,” katanya.
Terdahulu, FAM mengumumkan bahawa semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi. – UTUSAN











