Guna KWSP tampung pelan insuran bukan penyelesaian mutlak

Guna KWSP tampung pelan insuran bukan penyelesaian mutlak

REALITI perlindungan kesihatan kini telah berubah daripada soal pilihan kepada soal kemampuan susulan peningkatan mendadak kos insurans perubatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan bagi membayar premium Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas bukan penyelesaian mutlak untuk menampung kos perubatan.

Pensyarah Kanan Johor Business School Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Noor Aslinda Abu Seman berkata, walaupun langkah itu berpotensi membantu rakyat mendapatkan perlindungan insurans asas pada kadar lebih berpatutan, tujuan utama simpanan KWSP adalah bagi menjamin kelangsungan hidup selepas persaraan.

Noor Aslinda berkata, perlindungan MHIT Asas yang terhad sekitar RM100,000 setahun mungkin tidak mencukupi untuk rawatan kanser dan penyakit jantung sekali gus menyebabkan beban kos kesihatan kembali ditanggung oleh sistem kesihatan awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika kos rawatan swasta terus meningkat tanpa kawalan, tekanan terhadap sistem kesihatan awam dan fiskal negara akan berterusan memandangkan perbelanjaan kesihatan kerajaan kini sekitar 2.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Oleh itu kebenaran menggunakan simpanan KWSP untuk MHIT Asas hanya wajar dilaksanakan dengan had dan kawalan ketat, supaya perlindungan kesihatan hari ini tidak dibayar dengan risiko kewangan pada hari tua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini,  Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sedang berbincang dengan KWSP bagi membolehkan pencarum menggunakan dana persaraan untuk membayar MHIT Asas.

Noor Aslinda berkata, realiti perlindungan kesihatan kini telah berubah daripada soal pilihan kepada soal kemampuan susulan peningkatan mendadak kos insurans perubatan.

Menurutnya, antara 2024 hingga awal 2026, lebih 340,000 polisi insurans perubatan dan takaful dibatalkan manakala premium pula meningkat antara 40 hingga 70 peratus sejak 2024.

“Statistik ini membuktikan semakin ramai rakyat terkeluar daripada sistem perlindungan kesihatan swasta bukan kerana tidak sedar kepentingannya, tetapi kerana tidak lagi mampu menanggung kos yang terlalu tinggi.

“Apabila individu gagal mengurus kewangan dengan baik, kesan akhirnya akan ditanggung oleh keluarga, kerajaan serta sistem kebajikan awam,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kebenaran pengeluaran simpanan KWSP bagi tujuan MHIT Asas berpotensi menjejaskan kecukupan simpanan jangka panjang walaupun amaun pengeluaran kelihatan kecil.

“Pengurangan berterusan, walaupun secara berperingkat, ia boleh menghasilkan kesan kumulatif yang besar terhadap nilai simpanan ketika bersara,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu meningkatkan akses kepada perlindungan kesihatan asas serta pengurangan risiko rakyat menanggung beban perbelanjaan perubatan yang tinggi.

“Alternatif yang lebih mampan ialah kerajaan membangunkan skim insurans asas berpremi rendah yang disokong melalui peruntukan fiskal, caruman majikan atau dana khas kesihatan, agar objektif perlindungan kesihatan dapat dicapai tanpa menjejaskan tabung persaraan rakyat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×