SEREMBAN: Penantian 10 tahun seorang wanita bagi menerima cahaya mata pertama kini berakhir selepas dia selamat melahirkan bayi lelaki pada 30 Januari lalu menerusi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Zahidah Zainudin, 33, berkata, kelahiran cahaya mata sulung itu amat bermakna baginya dan suami, Salahuddin Alaayubi Nawawi, 41, selepas sedekad menanti sebelum rawatan IVF yang dijalani pada April tahun lalu di bawah Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) berjaya.
Katanya, pengalaman hamil pertama kali memberi perasaan yang sukar digambarkan, termasuk mengalami simptom alahan yang teruk pada trimester pertama sebelum pulih sepenuhnya pada trimester kedua dan ketiga.
“Ini merupakan kehamilan pertama kali saya sepanjang 10 tahun berkahwin, jadi memang rasa sebak. Saya akhirnya boleh rasa simptom kehamilan seperti ibulain.
“Saya dan suami sudah cuba macam-macam rawatan tetapi tiada rezeki dan rawatan IVF ini merupakan pertama kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban semalam.
Zahidah berkata, dia dan suaminya dimaklumkan terpilih menyertai program IVF berkenaan selepas disenarai pendek oleh yayasan berkenaan, sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan sokongan TAFF.
Terdahulu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke Bangunan Wanita dan Kanak-kanak HTJ untuk melawat dan meramah mesra bersama ibu-ibu bersalin di wad berkenaan.
Tunku Azizah yang juga pengasas TAFF bertitah, ia merupakan bayi yang ke-151 sejak hampir 20 tahun penubuhan TAFF dan baginda menzahirkan keterujaan kini memiliki ramai cucu menerusi yayasan tersebut.
“Ini merupakan bayi TAFF yang ke-151. Alhamdulillah, saya banyak cucu. Jadi, saya amat bersyukur kerana Allah SWT dan ada lapan pasangan lagi yang akan menerima kelahiran tidak lama lagi.
“Sebagai seorang melalui sendiri perjalanan menanti zuriat, saya memahami perasaan apabila dapat mendukung seorang bayi dalam pelukan sendiri. Perasaan itu hanya diketahui mereka yang mengalaminya, orang lain tidak akan mengerti sepenuhnya,” titah baginda.-UTUSAN











