PUTRAJAYA: Langkah kerajaan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian tidak boleh dianggap sebagai paksaan.
Sebaliknya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dasar baharu pendidikan yang diperkenalkan kerajaan itu bertujuan memberi ruang kepada setiap rakyat mendapatkan pendidikan masing-masing.
“Ini bukan soal paksaan. Saya harap kita kena perbetulkan dari segi tanggapan yang menganggap bahawa ini merupakan satu desakan dan sebagainya.
“Bagi saya apa yang kita lihat, ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan mereka,” katanya ketika ditemui selepas melaclncarkan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) bagi Zon Wilayah (Premier) di sini hari ini.
Katanya, Dasar Pendidikan Negara (DPN) 2026-2035 yang dilancarkan baru-baru ini adalah pendekatan terbaik bagi menyelaraskan kepelbagaian sistem pendidikan yang ada dalam negara ketika ini.
Dr Zambry berkata, menerusi dasar itu, kerajaan tidak boleh hanya melihat dari satu kes semata-mata yang melibatkan satu aliran sahaja sebaliknya akan melihat secara lebih saksama.
Dalam perkembangan sama, Dr Zambry menjelaskan, proses perbincangan terperinci berhubung pelaksanaan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah aliran bukan kebangsaan itu telah pun dimulakan.
Katanya, sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah mengadakan perbincangan awal dengan tiga kelompok terbabit dan hasil perbincangan itu sudah dibentangkan kepada kerajaan.
“Fokus seterusnya adalah melihat aspek kelulusan serta bagaimana memastikan kelayakan yang diperoleh pelajar selaras dengan syarat pengiktirafan, terutama apabila mereka memohon kemasukan ke universiti,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memperincikan aspek teknikal dan kualiti pengiktirafan. – UTUSAN











