SETIU: Suasana Masjid Kampung Penarik yang sebelum ini meriah dengan kehadiran orang ramai kini semakin sepi apabila masjid itu terpaksa ditutup sementara waktu bagi memberi ruang untuk kerja-kerja baik pulih.
Pengerusi Masjid Kampung Penarik, Azri Yusof berkata, masjid itu mula ditutup sejak akhir September lalu selepas mendapat kebenaran daripada pihak terlibat dan telah diperkenan Sultan Terengganu.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), keadaan masjid yang uzur membuatkan lokasi tersebut tidak selamat untuk melakukan sebarang aktiviti ibadah dan hal berkenaan telah dibawa kepada pihak pejabat agama serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebelum dibenarkan tutup kepada orang ramai.
“Boleh dikatakan 90 peratus struktur bangunan masjid itu uzur termasuk bahagian bumbung yang mana sebahagiannya ada yang runtuh. Jika masjid terus beroperasi kita bimbang akan berlaku insiden yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.
Menurut Azri, difahamkan masjid berkenaan ditutup dalam tempoh dua tahun untuk proses baik pulih sepenuhnya untuk keseluruhan bangunan dan fasiliti lain.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Penarik, Kamarul Azwan Kamarudin berkata, susulan itu kira-kira 200 jemaah di kawasan tersebut terpaksa dipindahkan ke Surau Kampung Baru buat sementara waktu.
Antara jemaah yang terlibat adalah jemaah Kampung Penarik dan Kampung Baru Penarik.
“Pada Jumaat (26 September) tahun lalu adalah solat Jumaat terakhir yang dilakukan di masjid tersebut sebelum ditutup sepenuhnya dan waktu solat asar pada hari yang sama jemaah berpindah ke surau yang ditetapkan.
“Masjid ini sebelumnya lokasi ibadah tumpuan mereka yang bermusafir kerana ia terletak di kawasan pelancongan, bagaimanapun mereka masih mempunyai pilihan untuk solat di surau-surau yang terletak di kampung berhampiran,” katanya.
Justeru itu, pihak pengurusan masjid berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian sendiri berhubung penutupan masjid tersebut.-UTUSAN










