NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand mengarahkan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi di sepanjang sempadan dengan Malaysia tidak lagi memasang antena ke arah negara jiran.
Jurucakap polis di sini berkata, pada masa sama arahan turut dikeluarkan supaya kekuatan penghantaran dikurangkan bagi mengurangkan tahap penerimaan.
Katanya, tindakan itu diambil dalam usaha menghalang jenayah siber rentas sempadan setelah pihak berkuasa mengesan beberapa penipuan melibatkan pengguna di Malaysia dan mangsa di Thailand.
“Operasi ini melibatkan tiga daerah iaitu Sungai Golok, Waeng dan Tak Bai bagi mencegah penggunaan telefon bimbit untuk menipu orang ramai.
“Ia melibatkan lebih 50 anggota penguat kuasa diketuai Komander Bahagian Penindasan Jenayah Teknologi (TCSD), Lt. Jeneral Polis Surapol Prembut. Pejabat Kawal Selia Telekomunikasi (NBTC) serta polis Wilayah 9 turut menyertai operasi itu.
“Melalui pemeriksaan terhadap kekuatan isyarat telefon, pasukan khas mengenal pasti tiga menara telekomunikasi iaitu di Mukim Buketa, Daerah Waeng; Mukim Sungai Golok dan Mukim Jeha di Tak Bai,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Jurucakap itu berkata, beberapa antena di menara itu didapati menghala ke arah Malaysia dan kekuatan isyarat telekomunikasi melintasi sempadan Thailand.
“Pegawai NBTC telah mengeluarkan amaran dan mengarahkan kuasa penghantaran liputan dan sudut kecondongan antena dikurangkan. Kekuatan pemancaran kini dikurangkan kepada 200 meter dari antena,” katanya.
Katanya, tindakan itu juga bertujuan menghalang pihak di Malaysia menggunakan kotak SIM di sepanjang sempadan untuk menipu mangsa.
“Sebelum ini polis Thailand telah memeriksa kawasan sempadan dengan Malaysia untuk mengesan kekuatan penerimaan dan penghantaran isyarat komunikasi serta ketinggian menara penghantar,” ujarnya.
Katanya, NBTC mengarahkan semua pengendali telekomunikasi untuk mematuhi sepenuhnya arahan itu dalam temoh tujuh hari.-UTUSAN










