SHAH ALAM: Syarikat pembinaan, MMC Gamuda memfailkan tuntutan sebanyak RM2.8 bilion terhadap Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) sebagai ganti rugi berkaitan masa lanjutan dan gangguan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.
Tuntutan berkenaan dibuat MMC Gamuda menerusi anak syarikatnya, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn. Bhd. berkaitan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang sudah pun beroperasi.
Berdasarkan notis yang difailkan MRT Corp selaku plaintif di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November tahun lalu, sebanyak RM1.8 bilion daripada tuntutan tersebut merangkumi dakwaan lanjutan masa, gangguan kerja, penyelenggaraan kemudahan serta kos tambahan lain.
Menurut notis itu, jumlah keseluruhan tuntutan dianggarkan mencecah RM2.82 bilion, dengan komponen terbesar melibatkan tuntutan ganti rugi berkaitan lanjutan masa dan gangguan sepanjang tempoh PKP ketika negara berdepan penularan COVID-19.
Bagaimanapun,MRT Corp, dalam afidavid sokongannya menyatakan sebahagian besar tuntutan RM1.8 bilion itu berpunca daripada dakwaan gangguan operasi semasa tempoh sekatan pandemik.
Isu berkenaan menimbulkan kebimbangan berhubung implikasi kewangan terhadap negara dan pembayar cukai, memandangkan projek MRT Laluan Putrajaya dilaksanakan di bawah kontrak harga tetap, selain telah disiapkan serta dibayar sepenuhnya.
Pemerhati turut berpandangan kes ini berpotensi mewujudkan duluan sekiranya mahkamah memihak kepada MMC Gamuda, sekali gus membuka ruang kepada pihak lain untuk mengemukakan tuntutan semula berasaskan kesan pandemik terhadap projek kerajaan yang telah diselesaikan.
Pertikaian ini masih di peringkat mahkamah, dengan MRT Corp diwakili Tetuan Sanjay Mohan manakala MMC Gamuda diwakili Tetuan Ganathan Loh. – UTUSAN










