KUANTAN: Disebabkan tidak ada kad pengenalan, enam beradik di Cherating di sini, terpaksa membesar dalam keadaan serba kekurangan dan terpinggir daripada sistem pendidikan serta bantuan kerajaan.
Lebih meruntun jiwa, seorang daripada mereka merupakan anak orang kurang upaya (OKU) terlantar akibat masalah cecair dalam otak, tidak pernah menerima sebarang bantuan kebajikan disebabkan masalah berkenaan.
Ibu mereka, Hazlina Husin, 47, adalah ibu tunggal yang bekerja sebagai pengemas bilik di sebuah chalet di Cherating tanpa pendapatan tetap.
Suami wanita tersebut, Mohd. Nazri Abu Samah, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu pelancong, meninggal dunia dua tahun lalu akibat sakit jantung, menyebabkan keluarga itu kehilangan tempat bergantung.
Enam anak pasangan itu yang tiada dokumen pengenalan diri berkenaan ialah Shahril Izzat, 23; Sarah Sofia Izza, 20; Sara Izzatul Fazlina, 18;Shahril Amirul Amir, 15; Shahril Amirul Amar, 15, yang juga OKU dan Sara Akira Eliza, 12.
Menurut Hazlina, disebabkan tiada kad pengenalan, semua anaknya tidak dapat bersekolah malah sukar melakukan urusan formal seperti memohon pekerjaan, menerima rawatan di hospital atau klinik kerajaan serta memohon lesen memandu.
“Bukan kami tidak pernah cuba mohon kad pengenalan tetapi disebabkan lewat memohon, prosedur yang perlu dibuat sangat rumit bagi kami yang tidak biasa melakukan urusan seperti itu.
“Kami juga tidak tahu kepada siapa mahu meminta pertolongan dan akhirnya urusan itu terhenti separuh jalan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Cherating, semalam.
Hazlina berkata, dia bersyukur ditemukan dengan insan berhati mulia, Mohamad Ramdhan Ethanieal Shahzuan Hamid yang sudi membantu menguruskan permohonan kad pengenalan enam anaknya itu sejak Februari tahun lalu.
Mohammad Ramdhan berkata, dia mengenali keluarga berkenaan melalui anak sulung mereka yang aktif dalam sukan luncur ombak di pantai Cherating.
“Kebetulan saya menjalankan perniagaan kafe di pantai itu dan terlibat dengan sukan luncur ombak,” katanya. – UTUSAN











