Tiada sumber makanan punca harimau keluar hutan

Tiada sumber makanan punca harimau keluar hutan

HARIMAU yang dirakam penduduk muncul buat kali keempat di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Fenomena harimau semakin kerap dilihat orang awam di kawasan Ulu Tembe­ling di sini, sejak hujung tahun lalu menimbulkan kebimbangan tentang keadaan habitat dan sumber makanan haiwan liar tersebut.

Difahamkan, sudah empat kali harimau muncul berhampiran kawasan manusia di Ulu Tembeling, sesuatu yang jarang berlaku kerana haiwan liar itu lazimnya menjauhi manusia.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, dua faktor utama mendorong harimau semakin menghampiri penempatan manusia adalah pengecilan habitat akibat pembangunan dan laluan jalan raya serta pengurangan sumber makanan semula jadi.

Katanya, harimau bergantung kepada mangsa seperti rusa, pelanduk dan babi hutan.

“Apabila jumlah haiwan mang­sa ini berkurangan, harimau terpaksa keluar dari kawasan asal untuk mencari makanan, termasuk mendekati kawasan ternakan dan penempatan manusia.

“Harimau tidak mendekati manusia jika makanan mereka mencukupi. Masalah timbul apabila mangsa utama seperti rusa semakin berkurangan akibat pemburuan haram dan kehilangan habitat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ahmad berkata, pengurusan habitat harimau perlu diberi perhatian serius bukan sahaja memastikan kawasan legar mencukupi tetapi menjamin kelestarian mangsa utama se­perti rusa.

Beliau berkata, kajian ekologi yang menyeluruh penting bagi menilai keseimbangan antara populasi harimau dan mangsa.

“Usaha pembiakan semula rusa dan pemuliharaan habitat semula jadi perlu dipertingkat agar kitaran ekologi tidak terganggu.

“Jika rusa dan haiwan mangsa lain mencukupi, harimau kekal di kawasan hutan dan tidak mengganggu manusia. Ini bukan sahaja melindungi harimau sebagai spesies yang semakin terancam, tetapi menjamin ke­selamatan penduduk,” jelasnya.

Kata beliau, kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat diperlukan bagi memastikan kelestarian ekosistem hutan tropika yang menjadi rumah kepada Harimau Malaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×