KUALA LUMPUR: Hasrat menampung kos rawatan perubatan bertukar mimpi ngeri selepas sindiket pinjaman wang tanpa lesen mengugut bayaran balik empat kali ganda.
Mangsa sindiket pinjaman wang tanpa lesen, dikenali sebagai Uncle Lim, 58, berkata, sindiket terbabit telah mengugut meminta bayaran balik sebanyak RM50,000 daripada jumlah pinjaman awal iaitu RM10,000 pada Mei 2025.
“Pinjaman tersebut adalah untuk tujuan perubatan saya sendiri dan sehingga kini saya telah bayar sebanyak RM5,000.
“Pada Rabu lepas, saya diekori satu kereta ketika keluar rumah untuk bungkus makanan sebelum ditampar serta dipukul menggunakan tongkat besi.
“Sekarang mereka (ah long) juga mengganggu anak perempuan saya dengan menghantar mesej-mesej menimbulkan ketakutan kepada saya sekeluarga,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini semalam.
Mengalami perkara sama, Jack, 40, yang terpedaya tipu helah ah long untuk berjumpa dan berbincang dengan cara baik, namun mengalami hal sebaliknya.
“Saya pinjam RM3,000 dan hanya dapat RM2,500 untuk kegunaan persediaan Tahun Baharu Cina tahun lepas.
Katanya, dia mendapat mesej ugutan dan amaran daripada ah long untuk segera melunaskan wang yang dipinjam sebelum dipukul pada malam Selasa lepas.
“Mereka memberi lokasi berjumpa untuk berbincang pada Selasa antara pukul 10 hingga 11 malam. Setiba di situ, saya terus dipaksa masuk ke dalam kereta,” katanya.
Jack berkata, dia dipukul oleh beberapa orang di dalam kereta sebelum diminta membuat bayaran RM50,000 dalam tempoh dua minggu serta telefon bimbitnya turut dirampas.
“Jika saya gagal membayar RM50,000 dalam tempoh tersebut, mereka akan mengenakan kadar faedah 10 peratus seminggu,” katanya. – UTUSAN











