PETALING JAYA: Pencarum Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas berpeluang menikmati perlindungan perubatan sehingga RM300,000 setahun menerusi pelan standard-plus.
Bagi pencarum pelan standard pula, had perlindungan tahunan ditetapkan pada RM100,000. Bagi individu umur 60 tahun ke atas, had berkenaan ditingkatkan kepada RM150,000 setahun.
Menurut Kertas Putih Bank Negara Malaysia (BNM), MHIT Asas menyediakan perlindungan kepada individu sehingga usia 85 tahun dengan had maksimum umur penyertaan ditetapkan pada 70 tahun.
“Berdasarkan data tuntutan, jumlah tersebut mencukupi untuk menampung kira-kira 99 peratus rawatan bagi pelbagai keadaan perubatan lazim, termasuk kemungkinan kemasukan hospital berulang.
“Sebarang rawatan yang lebih kompleks dan melibatkan kos tinggi yang berkemungkinan melebihi had perlindungan polisi akan terus ditangani melalui sistem kesihatan awam,” katanya.
Menurut BNM, pengenalan pelan tersebut adalah susulan peningkatan kos rawatan kesihatan serta kenaikan mendadak premium insurans sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ekoran peningkatan itu, ramai pencarum terpaksa membatalkan polisi perlindungan perubatan masing-masing, khususnya dalam kalangan warga emas.
Difahamkan, premium bagi pelan tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pembeli menggunakan simpanan atau pendapatan masing-masing.
Kata BNM, pelan tersebut berperanan sebagai pelengkap kepada sistem kesihatan awam dan bukan bertujuan menggantikan pelan perubatan sedia ada.
Ia juga dapat memberi perlindungan perubatan asas kepada individu yang memilih mendapatkan rawatan di hospital swasta, khususnya bagi kes-kes rawatan lazim yang tidak melibatkan kos rawatan yang terlalu tinggi.
“Deduktibel bagi pelan standard MHIT ditetapkan pada kadar yang rendah bagi memastikan perlindungan perubatan kekal mampu dibayar.
“Pencarum perlu menanggung deduktibel sebanyak RM500 bagi setiap episod rawatan manakala bagi individu berusia 61 tahun ke atas, deduktibel dinaikkan kepada RM1,000, selaras dengan had perlindungan tahunan yang lebih tinggi untuk kumpulan umur tersebut,” katanya.
Bagi pelan standard-plus, paras deduktibel yang dipertimbangkan adalah antara RM10,000 hingga RM15,000, selaras dengan produk insurans seumpamanya di pasaran.
“Pelan ini sesuai untuk individu yang telah mempunyai perlindungan perubatan melalui majikan atau mereka yang berkeupayaan menanggung sendiri sebahagian besar bil hospital.
“Premium bagi pelan standard-plus dijangka lebih rendah, iaitu antara 15 hingga 70 peratus bergantung kepada kumpulan umur,” katanya.
Difahamkan, bagi kumpulan umur 31 hingga 35 tahun, premium bulanan bagi pelan standard dianggarkan antara RM80 hingga RM120.
Sementara itu, bagi kumpulan umur 61 hingga 65 tahun, julat premium dianggarkan antara RM280 hingga RM350, manakala bagi individu berusia 75 tahun ke atas, premium bulanan boleh mencecah antara RM500 hingga RM780.
Bagi individu yang memilih pelan standard-plus, premium bulanan adalah lebih rendah berbanding pelan standard.
Bagi kumpulan umur 61 hingga 65 tahun, premium dianggarkan antara RM220 hingga RM280, manakala bagi individu berusia 75 tahun ke atas, julat premium dianggarkan antara RM400 hingga RM660 sebulan.
Selain itu, pelan MHIT Asas bukan satu skim insurans sosial, sebaliknya merupakan satu inisiatif nasional yang ditawarkan secara sukarela kepada individu yang ingin mendapatkan perlindungan perubatan asas.
Bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka diberi pilihan untuk membayar premium menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera yang telah ditetapkan bagi tujuan perubatan, pendidikan dan perumahan. – UTUSAN










