KUALA LUMPUR: Sektor perubatan negara memerlukan tenaga profesional yang bukan sahaja mahir dari segi klinikal tetapi juga berkeupayaan untuk mengurus dan memimpin ketika sektor itu berdepan cabaran yang semakin kompleks.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan jangka hayat, kerumitan rawatan akibat kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan bioteknologi selain pertambahan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah antara cabaran yang perlu dihadapi kini.
“Pada masa sama, kita berdepan isu kekurangan doktor, peningkatan kos perubatan serta risiko krisis kesihatan seperti pandemik. Semua ini menuntut kepimpinan pengurusan bukan sahaja aspek klinikal, tetapi keseluruhan sistem kesihatan negara.
“Kita ambil contoh era pandemik. Ketika itu, kita bukan hanya mengurus sektor perubatan, tetapi juga perlu mengurus kerjasama dengan kementerian lain. Aspek kepimpinan dan pengurusan itu tidak diajar secara formal di sekolah perubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Noor Hisham yang juga Pengerusi UCSI Healthcare Group berkata, penubuhan program Pusat Kecemerlangan dan Transformasi Perubatan (CMET) penting bagi memastikan sistem kesihatan negara dipimpin tenaga profesional yang mempunyai keupayaan kepimpinan dan pengurusan yang lebih menyeluruh.
Katanya, program tersebut dilihat sebagai nilai tambah kepada profesional kesihatan yang sedia ada termasuk doktor, jururawat dan ahli farmasi, bagi melahirkan pemimpin yang mampu memimpin organisasi kesihatan secara holistik.
“Kursus CMET ini dapat menggabungkan kepimpinan, pengurusan, tatacara kewangan dan sudut pandang di luar perubatan seperti ekonomi, sosial dan politik.
“Mereka bukan sahaja memimpin dari segi klinikal, tetapi juga daripada segi pengurusan dan kewangan. Kita perlu kompetitif. Ramai doktor dan jururawat kita berhijrah.
“Jadi kita perlu lihat bagaimana hendak mengurus dan menarik mereka kembali. Ilmu kepimpinan itulah yang akan diterapkan dalam CMET,” katanya.
Menurut beliau, program tersebut turut melibatkan pensyarah antarabangsa dari Universiti Oxford dan Geneva Graduate Institute of Public Health yang akan berkongsi pengalaman di peringkat tempatan, serantau dan global.
“Pendekatan kita bukan sekadar teori, tetapi berasaskan pengalaman lapangan, termasuk bagaimana membuat keputusan tegas berasaskan fakta, data dan sains, terutamanya ketika berdepan krisis,” katanya. – UTUSAN











