Tubuh tabung kesihatan ASEAN tampung kos rawatan PATI

Tubuh tabung kesihatan ASEAN tampung kos rawatan PATI

Laporan Utusan Malaysia 29 Januari 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN perlu menubuhkan tabung kesihatan bagi menampung kos rawatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara anggota.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, isu PATI dan kos rawatan warga asing bukan masalah yang boleh ditangani secara bersendirian kerana ia melibatkan pergerakan migran merentas sempadan di rantau ini.

Kata beliau, tabung kesihatan itu mampu mengurangkan beban fiskal negara penerima migran di samping memastikan perlindungan kesihatan pekerja asing terus terjamin.

“ASEAN sebenarnya sudah mempunyai kerangka liputan kesihatan migran yang menekankan kerjasama kewangan serta mekanisme pembiayaan inovatif bagi melindungi kesihatan golongan berkenaan.

“Dengan adanya kerangka itu, penubuhan platform kerjasama bersama tabung pembia­yaan kesihatan serantau adalah langkah yang logik dan selari dengan komitmen ke arah liputan kesihatan sejagat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, warga asing di negara ini gagal membayar bil rawatan klinik dan hospital kerajaan bernilai RM102 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2023.

Jumlah itu bersamaan peruntukkan RM100 juta untuk menaik taraf wad hospital kerajaan seluruh negara seperti diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, jumlah tunggakan bil rawatan tahun lalu merekodkan RM30.57 juta, manakala RM33.46 juta pada 2024 dan 2023 (RM34.97 juta).

Dr. Zainal Ariffin berkata, kerajaan perlu laksana pembaharuan sistem kesihatan dan pengurusan warga asing secara menyeluruh bagi pastikan kos rawatan tidak terus ditanggung kerajaan.

Antara langkah dicadangkan termasuk menguatkuasakan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) kepada semua pekerja asing dan memastikan majikan mematuhi sepenuhnya keperluan tersebut.

Kerajaan juga disaran mewajibkan deposit pra-rawatan kepada pesakit asing bagi kes bukan kecemasan sebagai jaminan bayaran, di samping mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal melangsaikan bil perubatan pekerja mereka.

“Terdapat keperluan memperkukuh kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi tujuan pengesahan identiti, pemantauan serta penagihan bil rawatan.

“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan perjanjian bila­teral atau serantau ­dengan negara asal migran untuk perkongsian kos sama ada secara langsung atau melalui platform ASEAN yang dicadangkan.

“Pada masa sama, pembangunan sistem pengesahan elektronik berpusat bagi menyemak status insurans, keizinan beker­ja dan rekod kesihatan warga asing secara masa nyata amat diperlukan,” jelasnya.

Kata beliau, kerjasama de­ngan perwakilan asing, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pertubuhan bukan kerajaan juga penting bagi bantu biaya rawatan pesakit warga ­asing yang tidak mampu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×