Hamzah tidak dijemput mesyuarat malam ini

Hamzah tidak dijemput mesyuarat malam ini

HAMZAH Zainudin (kiri) dan Muhyiddin Yassin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjemput timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin ke rumahnya pada malam ini untuk menghadiri mesyuarat.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang itu berkata, beliau tidak menerima jemputan dari Muhyiddin untuk menghadiri mesyuarat mengenai kemelut membabitkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Bukan macam itu, (patutnya) ‘adakah Datuk Seri dijemput untuk menghadiri mesyuarat ini?’, apalah soalan, jemput pun tidak, nak suruh hadir macam mana,” katanya sambil berseloroh di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.

Respons Hamzah itu selepas pemberita menyoal sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat di rumah bekas Pengerusi PN itu pada malam ini.

Semalam, media melaporkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada hari ini dibatalkan, sebaliknya ketua empat parti komponen gabungan itu akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin.

Perkara itu berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa sumber dalam parti komponen PN.

Difahamkan, pertemuan ketua-ketua parti itu adalah mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.

Mengenai surat Muhyiddin yang tular semalam, Hamzah berdalih dari menjawab mengenai surat yang antaranya mendakwa Pas bersetuju terhadap semua butiran yang terkandung termasuk berkaitan Majlis Presiden PN serta pemansuhan jawatan Pengerusi PN.

“Saya Timbalan Presiden Bersatu, jadi kena tanya Pengerusi PN macam mana (surat itu) bocor, saya tidak tahu ada surat itu, betul ke ada? Surat apa yang bocor?

“Kita tanya Setiausaha Agung (PN), oh ya Setiausaha Agung sudah meletakkan jawatan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×