SHAH ALAM: Peguam Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) perlu meneliti dokumen setebal setebal 10,000 muka surat yang dikemukakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Dokumen tersebut melibatkan penyata-penyata bank dan maklumat-maklumat berkaitan syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung pertuduhan dihadapi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd. Nasiruddin Mohd. Ali.
Tiga tertuduh lain adalah bekas akauntan, Hamimah Yakub, 74, serta Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 45, bersama suaminya, Md. Khushairi Osman ,55.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Mohd. Nasirudin, Asmat @ Asmanira dan Md. Khushairi, berkata, beliau menerima arahan daripada anak guamnya supaya meneliti kesemua dokumen tersebut bagi mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.
“Kami sudah menerima dokumen dalam bentuk CD. Kami dari awal sudah menerima arahan daripada anak guam untuk meneliti semua dokumen sebelum mengemukakan representasi kepada Peguam Negara.
“Seperti representasi berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), ia mengambil masa sehingga sembilan bulan. Saya percaya bagi permohonan kali ini keputusan representasi akan mengambil masa sehingga tiga bulan.
“Justeru, saya memerlukan empat bulan dan mencadangkan tarikh sebutan semula pada 4 atau 5 Mei depan bagi sebutan keputusan representasi. Paling cepat untuk saya teliti dokumen (setebal 10,000 muka surat) adalah tiga minggu dari tarikh hari ini,” katanya pada prosiding pengurusan kes, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pihaknya mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah setebal 10,000 muka surat.
“Dokumen sudah pun dilengkapkan untuk keempat-empat tertuduh, saya percaya peguam memerlukan masa untuk meneliti kesemua dokumen tersebut,” katanya.
Sementara itu, peguam, Datuk Mohd. Khair Yakub yang mewakili Hamimah memohon jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya di Mahkamah Sesyen, Kulim dibenarkan untuk diteruskan di Mahkamah Sesyen di sini.
Ini kerana, sebelum ini mahkamah tersebut memulangkan semula wang jaminan kepada tertuduh selepas permohonan untuk memindahkan kes dibenarkan bagi dibicarakan serentak di sini.
Hakim Datin Fatimah Zahari kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes bagi keputusan representasi pada 5 Mei depan.
Beliau turut membenarkan jaminan kepada Hamimah sebanyak RM5,000 diteruskan berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, larangan mengganggu saksi pendakwaan serta makluman jika berlaku pertukaran alamat tempat tinggal.
Mohd. Nasiruddin, Asmat @ Asmanira, Md. Khushairi dan Hamimah pada September tahun lalu dihadapkan dengan keseluruhan 331 pertuduhan menerima dan memindahkan wang berjumlah RM38.16 juta.
Hamimah, Asmat @ Asmanira dan Md. Khushairi masing-masing dituduh di Mahkamah Sesyen Kulim, Johor Bahru dan Kuala Lumpur dengan jumlah pertuduhan sebanyak 36, 25 serta 40.
Mereka turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini dengan keseluruhan jumlah pertuduhan sebanyak 230 pertuduhan. Kesemua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). – UTUSAN










