PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Albert Tei, yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal perlombongan di Sabah, dijangka hadir ke Bukit Aman esok bagi membantu siasatan polis.
Difahamkan, Albert akan memberi keterangan berhubung satu laporan polis berkaitan kemunculan seorang wanita dalam video tular yang mengaitkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin.
Peguamnya, Mahajoth Singh ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu dan berkata, anak guamnya telah dipanggil untuk hadir ke ibu pejabat polis tersebut.
Katanya,siasatan berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.
“Ya, Albert telah dipanggil untuk hadir esok pada pukul 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Dia akan hadir bersama peguam,” katanya.
Sebelum ini, video rakaman perbualan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong, dikaitkan dengan Shamsul Iskandar dan Albert serta dakwaan mengambil wang lebih RM600,000 tular di media sosial.
Wanita tular itu menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi proksi kepada Shamsul Iskandar.
Sofia Rini menerusi satu klip video menegaskan dakwaan dan tohmahan yang dibuat Albert itu sebagai palsu, selain menafikan tiada sebarang perbincangan dibuat berhubung proses permohonan bagi mendapatkan lesen perlombongan. – UTUSAN









