Ahli Parlimen perlu sokong reformasi undang-undang

Ahli Parlimen perlu sokong reformasi undang-undang

AZALINA Othman Said ketika berucap di Konvensyen Keadilan Jenayah dan Reformasi Undang-undang: Sistem Keadilan Jenayah dalam Era Baharu di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini, hari ini. - UTUSAN/ZAHRA MOHAMAD ZHAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen digesa supaya memberi sokongan penuh terhadap sebarang pindaan undang-undang khususnya bagi memastikan sistem perundangan negara mampu menangani cabaran baharu dalam era teknologi masa kini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, kefahaman dan keterbukaan ahli parlimen terhadap keperluan reformasi perundangan amat penting memandangkan sebarang pindaan hanya dapat direalisasikan selepas mendapat kelulusan Parlimen.

“Ahli parlimen perlu faham bahawa dunia sedang berubah. Perubahan ini bukan daripada sudut politik semata-mata tetapi juga daripada segi cara kita bekerja dan mentadbir. Menjelang 2026, ahli politik juga perlu bersedia untuk berubah.

“Kadangkala perbahasan di Parlimen masih kelihatan agak ketinggalan. Jika kita tidak bergerak ke hadapan, kita akan terus tertinggal,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Keadilan Jenayah dan Reformasi Undang-undang: Sistem Keadilan Jenayah dalam Era Baharu di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, ahli Parlimen setakat ini memberi maklum balas positif terhadap pindaan undang-undang yang dicadangkan.

Menurut beliau, antara pindaan yang menerima penerimaan baik melibatkan aspek keselamatan serta kesalahan seksual.

“Setakat ini, maklum balas yang diterima adalah positif, sama ada daripada ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.

Tambahnya, menerusi beberapa pendekatan pantas, kerajaan berharap beberapa peruntukan dapat dibentang untuk dibahaskan menjelang trimester kedua sesi Parlimen.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan perubahan yang dirangka dapat dilaksanakan demi kemajuan negara,” katanya.

Azalina berkata, kerajaan merancang untuk memulakan reformasi berkenaan melalui undang-undang jenayah sebagai langkah awal selaras dengan piawaian antarabangsa dan perubahan landskap global.

Beliau berkata, perubahan undang-undang kini menjadi semakin mendesak susulan kemunculan ancaman teknologi baharu seperti deepfake, kecerdasan buatan (AI) dan penyalahgunaan kandungan digital yang berpotensi menjejaskan keselamatan, maruah serta hak individu.

Menurutnya, perkembangan teknologi yang pesat menyaksikan jenayah kini tidak lagi bersifat konvensional, malah semakin canggih dan sukar dikesan sekiranya sistem perundangan masih bergantung kepada pendekatan lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×