PETALING JAYA: Setiap kementerian dan syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) perlu memberikan perhatian serius terhadap penilaian keberkesanan pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga meneliti secara menyeluruh kemajuan pelaksanaan serta inisiatif-inisiatif berimpak tinggi di bawah PuTERA35.
“Saya menegaskan agar kementerian-kementerian serta GLIC memberi penekanan serius terhadap aspek penilaian keberkesanan, selain memastikan pelaksanaan inisiatif yang dirangka tidak bertindih dan bersifat saling melengkapi.
“Mesyuarat yang dilaksanakan kerajaan turut mengambil maklum kemajuan semasa pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh GLICs dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.
“Ia termasuk bidang pembangunan hartanah, keusahawanan, pembangunan bakat dan inisiatif sosial.
“Analisis mendalam dan berterusan adalah penting bagi mengelakkan kecenderungan untuk berasa selesa sekadar menyenaraikan usaha yang telah dilaksanakan tanpa menilai impak sebenar serta ruang penambahbaikan yang wajar diterokai,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2026, hari ini.
Perdana Menteri berkata, inisiatif-inisiatif di bawah PuTERA35 diyakini akan terus memberi manfaat merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
“Inisiatif ini juga akan menzahirkan hasil yang dihasratkan demi kemakmuran ekonomi Bumiputera dan negara secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










