KUALA LUMPUR: Dua beradik warga Myanmar, ditahan dalam serbuan di Kompleks Pasar Borong Selayang di sini minggu lalu kerana mengedar dadah sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, mereka yang bekerja sebagai buruh kasar, ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira pukul 10.15 pagi pada 23 Januari lalu.
Beliau berkata, seorang daripadanya berusia 26 tahun, ditahan di kawasan anak tangga kompleks berkenaan, namun tidak ditemukan sebarang barang salah.
Katanya, penahanan lelaki itu membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di kompleks sama di mana seorang lagi lelaki Myanmar ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai empat kotak mengandungi 95 botol cecair disyaki ubat batuk mengandungi kodein. Turut dijumpai satu peket plastik berisi dadah disyaki methamphetamine seberat 53.79 gram,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Sukarno, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka juga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
“Kedua-dua suspek adik-beradik, bekerja sebagai buruh kasar di pasar borong dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Suspek menjual sebotol kecil (dadah) sebanyak RM10 dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain serta sumber bekalan dadah,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 23 hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN









