NARATHIWAT (THAILAND): Polis menahan seorang rakyat Malaysia dan merampas sepucuk pistol serta peluru daripadanya dalam serbuan di sebuah rumah di Daerah Tak Bai di sini, Ahad lalu.
Jurucakap polis berkata, lelaki terbabit ditahan bersama dua lagi rakannya yang juga rakyat Malaysia setelah mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah sewa di Mukim Cheh Heh, Tak Bai, kira-kira pukul 6.20 petang Ahad lalu setelah menerima maklumat awam.
“Pemeriksaan di sebuah bilik menemukan sepucuk pistol separa automatik .32 milimeter (mm), kelopak peluru, tiga butir peluru hidup kaliber .32 mm dan satu sarung kulit berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jurucakap polis itu berkata, lelaki berusia 34 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api 1947 kerana memiliki senjata api dan peluru tanpa permit.
Katanya, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara antara setahun dan 10 tahun serta denda sehingga 20,000 baht (RM2,545) atau kedua-duanya.
“Lelaki terbabit yang berasal dari Kampung Pulau Raja, Tumpat, Kelantan juga akan dituduh memasuki Thailand tanpa kebenaran. Dua lagi rakannya yang masing-masing berumur 24 dan 32 tahun dan berasal dari Kota Bharu serta Tumpat, akan dituduh memasuki dan menetap di Thailand secara haram,” ujarnya. – UTUSAN











