Malaysia kekal pilihan utama pelaburan pusat data

Malaysia kekal pilihan utama pelaburan pusat data

CHEAM Tat Inn
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi pembangunan pusat data, didorong permintaan yang kukuh serta kelebihan strategik, khususnya di Johor dan disokong ekosistem digital semakin berkembang.

Pengarah Urusan Equinix, Cheam Tat Inn berkata, pihaknya kekal positif terhadap prospek pelaburan di Malaysia dan sedang meneroka peluang baharu di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Katanya, sebuah pusat data baharu di Johor, dikenali sebagai Johor 2, kini dalam pembinaan dan dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2027, dengan nilai pelaburan dianggarkan sekitar AS$201 juta (RM794.58 juta)

“Berdasarkan permintaan yang kukuh yang datang ke Malaysia, kami sedang meneliti peluang di seluruh negara dan bagaimana kami boleh memenuhi keperluan pelanggan pada masa hadapan.

“Malaysia masih merupakan lokasi pelaburan yang sangat menarik bagi pusat data dan apabila terdapat maklumat lanjut, kami akan berkongsi secara rasmi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Tengahari Eksklusif Bersama Media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Johor kekal sebagai lokasi tumpuan berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran Singapura, selain keupayaannya menyediakan sambungan berlatensi rendah kepada ekosistem digital serantau.

“Kami mahu memastikan pelanggan mempunyai sambungan yang pantas dan stabil kepada ekosistem digital yang pesat berkembang, dan Johor menawarkan kelebihan itu,” katanya.

Berhubung aspek kedaulatan data, beliau berkata, pusat data yang dibangunkan di Malaysia akan memastikan semua data pelanggan disimpan dan diurus sepenuhnya dalam negara, tanpa dipindahkan ke pelayan luar.

“Data akan ditempatkan di pusat data kami di Johor dan Cyberjaya, sekali gus memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan serta undang-undang tempatan,” katanya.

Sementara itu, mengenai lokasi pelaburan seterusnya, beliau berkata, pihaknya terbuka untuk mempertimbangkan pelbagai lokasi di Malaysia, tertakluk kepada keperluan utama iaitu tahap kesinambungan

“Kesinambungan merupakan faktor paling penting bagi kami kerana kami sedang membangunkan ekosistem digital yang kukuh. Sambungan antara pusat data akan menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan lokasi,” katanya.

Tambah beliau, dengan asas infrastruktur digital yang semakin matang serta permintaan yang terus meningkat, Malaysia dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk terus menarik pelaburan pusat data berskala besar pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×