Lelaki disyaki koyak Al-Quran ada masalah mental

Lelaki disyaki koyak Al-Quran ada masalah mental

CEBISAN Al-Quran yang dipercayai dikoyak dan dibuang oleh suspek di atas Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Jalan Borneo di sini dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Lelaki yang disyaki mengoyak Al-Quran dan dibuang di atas Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Jalan Borneo di sini dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata perbuatannya itu juga dipercayai tidak dilakukan dengan niat mencetuskan provokasi atau ketegangan isu 3R.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan kitab suci dengan niat untuk menghina agama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Logeswara Tharumalay @ Krishnan di talian 018-2914239 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Terdahulu, Alexson mengesahkan tangkapan ke atas suspek berusia 57 tahun itu di sebuah premis makanan di kawasan Taman Green Hill di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam, susulan video yang tular di media sosial memaparkan penemuan cebisan helaian Al-Quran yang dikoyak di atas Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Jalan Borneo.

Katanya siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 23 Januari lalu kira-kira pukul 8.40 malam, dengan dua video berkaitan kejadian telah dimuat naik oleh seorang netizen di Facebook.

Beliau berkata kejadian juga telah disahkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×