KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti semula intipati Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kepentingan ekonomi negara terpelihara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini, Malaysia belum menerima notis rasmi daripada Amerika Syarikat berhubung garis masa untuk meratifikasi perjanjian tersebut.
“Sehingga notis rasmi diterima, kami masih meneliti setiap klausa dalam ART untuk memastikan kepentingan eksport dan pelabur tempatan terpelihara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Radzi Jidin (Putrajaya) yang meminta kementerian menyatakan sekiranya kerajaan boleh merunding semula klausa di dalam ART dan apakah kesan sekiranya kerajaan berhasrat untuk menamatkan perjanjian tersebut.
Menurut Johari, rundingan ART sebelum ini dijalankan dalam suasana ketidaktentuan, terutama selepas AS mengenakan tarif tinggi pada produk Malaysia pada tahun lalu.
“Sekiranya ART ditamatkan, persekitaran ekonomi negara berkemungkinan menjadi tidak stabil dan tidak tentu, manakala pengenaan tarif unilateral oleh Amerika Syarikat tetap merupakan hak prerogatif mereka,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan teliti dan berhati-hati dalam setiap rundingan perjanjian perdagangan, bagi mengurangkan risiko kepada eksport negara dan memastikan pelabur tempatan serta asing terus mengekalkan operasi mereka di Malaysia.
Menurutnya, sebarang perubahan atau rundingan semula terhadap ART hanya akan dilakukan selepas analisis kos-faedah (CBA) yang komprehensif selesai, bagi menilai impak terhadap sektor perniagaan, industri kecil dan sederhana, serta tenaga kerja tempatan.
“Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa yang boleh menjejaskan rantaian bekalan dan industri tempatan. Semua langkah akan dibuat berasaskan data dan kajian mendalam,” tambahnya.
Menurutnya, ART bersifat unilateral dan pengenaan tarif oleh AS adalah hak mereka.
“Kerajaan sentiasa menilai langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan kepentingan Malaysia tidak terjejas.
“Kerajaan komited untuk menjaga kestabilan ekonomi negara, memelihara kepentingan eksport, dan memastikan rundingan perdagangan berjalan dengan telus serta berkesan,” katanya. – UTUSAN










