Amanat Ketua Polis Negara kepada warga PDRM

Amanat Ketua Polis Negara kepada warga PDRM

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Jadikan sifat jujur, amanah, adil dan telus sebagai asas dalam setiap pelaksanaan tugas kerana ia mencerminkan profesionalisme serta kredibiliti PDRM.”

Itu pesan dan amanat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bulan Januari 2026 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman, hari ini.

Dalam amanat itu, Mohd. Khalid turut menuntut warga PDRM memperkemas disiplin, memperkukuh integriti dan menjauhi sebarang salah laku bagi mempertahan keselamatan dan ketenteraman awam negara.

“Nilai kejujuran, amanah, keadilan dan ketelusan perlu dijadikan tunjang dalam setiap tindakan serta keputusan yang dibuat oleh warga PDRM,” katanya.

Mohd Khalid turut meminta warga PDRM terus berganding bahu dengan semangat kental dan jiwa waja bagi memperkukuh solidariti organisasi.

“Jadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk membuktikan bahawa PDRM sentiasa bersedia berkorban demi agama, bangsa dan negara serta kekal relevan, dihormati dan disegani,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 26 pegawai polis dan kakitangan awam daripada JSJN menerima sijil penghargaan atas prestasi perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan.

Mohd Khalid berkata, pengiktirafan itu diharap dapat menyemarakkan semangat kerja berpasukan selain menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi keseluruhan organisasi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan dan jawatankuasa kerja yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×