PETALING JAYA: Nilai rampasan dadah sepanjang tahun 2025 mencecah RM3.19 bilion, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya melumpuhkan 270 sindiket pengedaran iaitu peningkatan 236 sindiket pada tahun 2024.
“JSJN turut berjaya menyita aset bernilai kira-kira RM144 juta dan melucuthak harta hampir RM31 juta sepanjang 2025 sebagai usaha melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket.
“Angka tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2024 yang mencatatkan sitaan sekitar RM100 juta dan pelucuthak hampir RM14 juta.
“Pencapaian luar biasa turut dicatat dalam aspek rampasan, di mana nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun kira-kira RM3.19 bilion. Jumlah ini hampir lapan kali ganda lebih tinggi berbanding RM388 juta yang dirampas pada tahun sebelumnya,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Januari 2026 anjuran JSJN di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, pencapaian tersebut direkodkan hasil peningkatan keupayaan operasi dan risikan yang dilaksanakan secara agresif dan berfokus.
“Kejayaan pembongkaran makmal dadah haram juga menunjukkan peningkatan apabila 55 makmal berjaya dibongkar pada 2025, berbanding 44 makmal pada tahun sebelumnya,” katanya.
Mohd. Khalid berkata, peningkatan mendadak itu bukan sahaja mencerminkan skala aktiviti pengedaran dadah yang semakin agresif, malah membuktikan keupayaan pasukan JSJN dalam menyekat bekalan dadah sekali gus menyelamatkan generasi masa kini dan akan datang.
Tambah Mohd Khalid, bagi penguatkuasaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, jumlah tangkapan mencatatkan penurunan kepada 811 tangkapan pada tahun 2025 berbanding 1,111 tangkapan pada tahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 27 peratus.
Jelasnya, penurunan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan pencegahan serta kejayaan melumpuhkan sindiket utama yang sebelum ini menjadi penyumbang besar kepada statistik tangkapan di bawah peruntukan berkenaan.
“Secara keseluruhan, statistik tahun 2025 jelas mempamerkan komitmen dan keberkesanan JSJN dalam memerangi ancaman dadah serta melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN









